Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Shi Feng cipta sejarah, juara pertama China di Masters Malaysia
  • SUKAN

Shi Feng cipta sejarah, juara pertama China di Masters Malaysia

Utusan Sarawak 4 days ago
PEMAIN perseorangan Lelaki China, Li Shi Feng bersama hadiah yang diterima selepas memenangi perlawanan akhir ketika menentang pemain India, Kidambi Srikanth pada Perodua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Li Shi Feng melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain perseorangan lelaki China pertama muncul juara pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 selepas menewaskan wakil India, Srikanth Kidambi di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Pemain berusia 25 tahun itu meraih kejuaraan sulungnya di pentas Masters Malaysia dengan kemenangan selesa 21-11, 21-9 dalam masa hanya 36 minit.

“Saya tidak sangka akan menjadi pemain pertama dari China yang memenangi kejohanan ini kerana sebelum ini saya kurang memberi perhatian kepada siapa yang pernah bergelar juara.

“Tetapi ini satu permulaan yang baik. Setiap tahun saya hanya mara ke separuh akhir, jadi kejayaan kali ini memberi galakan besar buat saya,” katanya kepada pemberita.

Pemain ranking keempat dunia itu akan meneruskan kempen kejohanan seterusnya di Terbuka Singapura 2025 yang bermula Selasa ini ini dengan cabaran awal menanti bertemu pemain Jepun, Koki Watanabe pada pusingan pertama. 

Untuk rekod, legenda badminton China, Lin Dan hanya mara ke pusingan pertama Masters Malaysia pada edisi 2018 dan 2020.

Dalam final perseorangan wanita, pilihan utama dari China, Wang Zhi Yi menepati ramalan apabila mempertahankan gelaran buat dua tahun berturut-turut selepas menewaskan rakan senegara yang juga pilihan kedua, Han Yue 13-21, 21-13, 21-18 dalam pertarungan selama 75 minit.

Pemain ranking kedua dunia itu menyifatkan kejayaan itu sebagai motivasi untuk terus bersaing di pentas antarabangsa, khususnya di Malaysia yang dianggap sebagai gelanggang bertuah buat dirinya.

Sementara itu, gelaran beregu wanita turut menjadi milik China apabila pasangan Liu Sheng Shu–Tan Ning menewaskan rakan sepasukan, Jia Yi Fan–Zhang Shu Xian 21-17, 21-18.

Dalam pada itu, pasangan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping meraih kejuaraan beregu campuran selepas menewaskan pilihan utama yang juga rakan sepasukan Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin 21-17, 14-21, 21-16 dalam masa 63 minit.

Dong Ping mengakui mereka bergelut dengan corak permainan lawan pada set kedua, namun berpuas hati dengan perubahan taktikal yang dibuat pada set penentuan sehingga berjaya menjulang kejuaraan status Super 500 itu.

Pemenang bagi acara perseorangan membawa pulang hadiah wang tunai USD35,625 (RM150,693) manakala pasangan juara bagi setiap acara beregu meraih USD37,525 (RM158,730).

-Bernama  

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous:
1,700 peserta meriahkan Larian Amal Bersama Bomba 8.0 di Miri
Next: Penyokong Liverpool di Kuching rai kejayaan juara Liga Perdana Inggeris

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.