
LIMBANG: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah akan mempergiat usaha mempromosikan serta mengkomersialkan durian tempatan khususnya durian kuning yang kini mendapat permintaan di pasaran China.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, durian kuning yang amat digemari di Limbang mendapat sambutan luar biasa dan pilihan utama pengunjung khusus dari negara jiran Brunei.
Jelasnya selain tanaman nanas, pisang, kelapa, tanaman durian antara tanaman yang sedang dibangunkan oleh kerajaan negeri di negeri ini termasuk utara Sarawak.
“Kita hendak fokus untuk mempromosi produk kita di Limbang.
“Selain memfokus nanas, pisang, kelapa, saya hendak mempopularkan durian tempatan kita iaitu durian kuning yang sekarang ini juga mendapat sambutan baik di China dan pasaran kita boleh jual melalui negeri Sabah,” katanya berucap pada Majlis Mantar Gawai Dayak Sempena Pesta Medamit 2025, malam tadi.
Seterusnya beliau memberitahu, pihaknya akan memfokus sektor sektor pertanian untuk dikembangkan di Limbang termasuk di kawasan Medamit.
Kementeriannya juga akan meneruskan kerjasama dengan agensi terlibat bagi membentuk polisi khususnya dalam membantu menaik taraf kehidupan petani kecil yang tinggal di luar bandar.
Selain memfokus kepada tanaman nanas, pisang, kelapa dan durian kementeiriannya juga akan memulakan projek jelapang padinya di Limbang pada Rancangan Malaysia Ke-13 tahun depan depan melibatkan keluasan 1,500 hektar.
Antara kawasan dikenalpasti adalah Kampung Pandam Limbang melibatkan keluasan seribu hektar,manakala Kampung Sinampuan Sundar Lawas dipilih membabitkan keluasan 500 hektar.
Tambah beliau projek penanaman padi di Limbang juga adalah selari dengan hasrat Sarawak bagi memastikan keterjaminan makanan.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengerusi Sarakup Dayak Iban Sarawak (SADIA) Limbang Jerry Seraie dan Timbalannya Jangan Bakar.
Oleh Adeng Edrus