
LUNDU: Pesta DuanWu (Kuih Bak Chang) menjadi simbol penyatuan masyarakat di Daerah Lundu apabila keenakan kuih ini dibalut penuh kasih sayang dalam semangat gotong-royong, sekali gus menjadi platform penting dalam memupuk keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Johnny Pang Leong Ming berkata demikian semasa merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) MADANI sempena Sambutan Pesta Duanwu (Kuih Bak Chang) di Premis Persatuan Chung Hua Lundu, hari ini.
Menurut beliau, Pesta DuanWu merupakan satu tradisi yang kaya dengan nilai sejarah, budaya dan nilai-nilai kekeluargaan, yang wajar terus dihargai dan diteruskan oleh generasi akan datang.
“Menerusi pembuatan kuih bak chang, kita bukan sahaja menghargai semangat perpaduan dan menghormati sejarah, malah menyemai nilai-nilai murni yang terkandung dalam sambutan ini,” ujarnya.
Tambahnya, komuniti MADANI berperanan sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum serta menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
“Kuih ini juga menjadi lambang perkongsian budaya. Hari ini, sebanyak 100 biji kuih bak chang telah dimasak secara gotong-royong oleh ahli-ahli Komuniti MADANI Kampung Seketi Cina, yang terdiri daripada masyarakat Cina dan Melayu,” katanya.
Jelas beliau, program sebegini memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan sesuatu acara merentas kepelbagaian budaya, menjadikan festival ini satu sambutan yang menyeronokkan dan penuh makna.
“Tambahan pula, program ini menyokong usaha memelihara warisan budaya tempatan seperti pembuatan kuih chang agar tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sambutan ini adalah hasil kerjasama erat seluruh komuniti MADANI, menjadikan daerah Lundu sebagai daerah yang harmoni dan penuh kasih sayang antara kaum.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Komunikasi Korporat (BMKK), Sri Kestury Mohammed Zamhari yang mewakili Pengarah, Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia Sarawak, berkata peranan komuniti MADANI amat penting dalam membanteras penyebaran berita palsu dan bijak memilih sumber berita yang sahih.
“Komuniti MADANI memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat sahih dan tepat kepada masyarakat,” jelasnya.
Majlis turut diserikan dengan sesi perkongsian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai jenayah siber di daerah Lundu serta penghayatan Rukun Negara oleh Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip.
Selain itu, pertandingan mewarna bertemakan Festival Perahu Naga dan Kuih Bak Chang yang diselia oleh Persatuan Chung Hua Lundu turut diadakan sebagai acara sampingan.
–Jabatan Penerangan Sarawak