Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Program Juh Berambeh perkukuh peranan institusi agama  
  • WILAYAH

Program Juh Berambeh perkukuh peranan institusi agama  

Utusan Sarawak 22 hours ago
ADUN Simunjan, Awla Dris merakamkan gambar kenangan pada Program Juh Berambeh anjuran Jabatan Mufti Sarawak bagi tahun 1446H/2025M telah melabuhkan tirainya dalam satu majlis penangguhan yang berlangsung di Masjid Darul Hijrah, hari ini. Foto UKAS

SIMUNJAN: Program Juh Berambeh anjuran Jabatan Mufti Sarawak bagi tahun 2025 telah melabuhkan tirainya dalam satu majlis penangguhan yang berlangsung di Masjid Darul Hijrah, hari ini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah Simunjan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hijrah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menegaskan bahawa objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan peranan Jabatan Mufti Sarawak kepada masyarakat setempat, di samping memperkukuh kesedaran tentang kepentingan merujuk isu-isu agama, khususnya berkaitan fatwa kepada pihak yang berautoriti.

“Program ini juga merupakan platform strategik yang membuka ruang penyertaan masyarakat secara langsung dalam pelbagai aktiviti anjuran Jabatan Mufti ke arah mempererat hubungan dua hala antara institusi agama dan komuniti,” ujar beliau.

Awla turut menekankan kepentingan mendapatkan sumber rujukan yang sahih dalam berhadapan dengan lambakan maklumat yang tidak menentu dan mudah tersebar terutamanya melalui media sosial.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan sesetengah pihak menyebarkan maklumat agama tanpa pengesahan yang boleh membawa kepada kekeliruan dan kesesatan.

Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak menjadikan emosi, media sosial atau pandangan individu yang tidak bertauliah sebagai sumber pegangan dalam urusan agama, sebaliknya, beliau menggesa agar masyarakat terus merujuk kepada institusi agama yang sah seperti Jabatan Mufti Sarawak.

“Kebenaran datang daripada ilmu yang sahih, dan ilmu itu diperoleh daripada mereka yang amanah serta diiktiraf.

Justeru, budaya bertanya, menuntut ilmu dan menyemak maklumat sebelum disebarkan perlu disuburkan dalam kalangan umat Islam,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, setiap individu Muslim memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kefahaman terhadap agama tidak terpesong oleh pandangan yang dangkal atau agenda yang tersasar.

Program Juh Berambeh merupakan antara inisiatif Jabatan Mufti Sarawak untuk mendekatkan institusi agama dengan masyarakat, di samping memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan Islam di peringkat akar umbi.

Antara pengisian utama program termasuklah daurah fiqhiyyah mengenai panduan solat bagi pesakit yang melibatkan penyertaan seramai 106 orang peserta dari kampung-kampung sekitar Simunjan.

Selain itu, turut diadakan aktiviti Jejak Ilmu (explorace) melibatkan penjawat awam, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta pameran daripada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Mufti Sarawak sendiri. -UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Agihan ‘penganan’ platform satukan masyarakat
Next: Pesta Sungai Simpok 2025 meriah, perkukuh warisan komuniti Bidayuh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.