
KUCHING: Penyakit jantung kekal sebagai antara punca utama kematian di negeri ini, justeru kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif termasuk merancang untuk mewajibkan pemasangan Peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED) di semua bangunan pada masa akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, adalah penting untuk orang awam mempelajari bantuan pernafasan (CPR) dan penggunaan AED kerana kemahiran tersebut terbukti dapat menyelamatkan nyawa.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi insiden yang berlaku pada 30 April lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, apabila seorang lelaki dikenali sebagai Lau dari Sibu tiba-tiba rebah akibat sakit dada yang teruk dan tidak sedarkan diri.
Seorang wanita muda bersama tiga orang awam lain bertindak pantas melakukan CPR selama 30 minit serta menggunakan AED sebanyak dua kali sebelum mangsa berjaya diselamatkan.
“Kejadian ini membuktikan bahawa ilmu CPR dan penggunaan AED sangat penting dan boleh menyelamatkan nyawa.
“Oleh itu, pendidikan mengenai kemahiran ini perlu dimulakan sejak peringkat awal, dan melatih guru sekolah rendah merupakan langkah tepat,” katanya.
Menurut beliau, apabila guru diberikan latihan, mereka bukan sahaja mampu bertindak dalam situasi kecemasan, tetapi juga dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada murid-murid bagi melahirkan generasi yang celik kecemasan.
Beliau turut berharap ceramah yang diadakan akan memberi kemahiran praktikal dan keyakinan kepada guru untuk bertindak pantas apabila berdepan situasi kritikal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Bantuan Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Jonathan Chai Voon Tok berkata, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik darjah, tetapi juga memainkan peranan penting sebagai penjaga keselamatan murid di sekolah.
“Ilmu pertolongan cemas ini mungkin kelihatan tidak berkaitan dengan tugas pengajaran, namun dalam saat kecemasan, ia mampu menjadi penyelamat nyawa.
“Kami berharap guru-guru dapat menjadikan kesedaran ini sebagai sebahagian daripada identiti mereka,” kata Jonathan.
Oleh Amanda L.