ENGKILILI: Usaha untuk mewujudkan masyarakat celik huruf dalam Daerah Lubok Antu akan diteruskan dengan perlaksanaan semula Program LEADS atau Pendidikan Kemahiran Literasi Dewasa bermula 27 Julai ini.
Jurucakapnya memberitahu program ini akan dilaksana di empat lokasi terpilih iaitu Rumah Entenbang (Nanga Blaie), Rumah Saong (Serubah Ulu), Rumah Ringkai (Seremat) dan Kelas PLF V2 TBK Sempang.
“Program LEADS ini sepatutnya bermula pada April lepas.
“Namun disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka ia terpaksa ditangguh sebelum dibenarkan dilaksana semula pada Isnin depan.
“Bagaimanapun, ada perbezaan bagi perlaksanaan LEADS kali ini.
“Jika dahulu jumlah peserta menjangkau 30 orang untuk satu kelas namun untuk kali ini jumlah penyertaannya hanya dihadkan kepada 15 orang sahaja,” kata beliau.
Jurucakap berkenaan memberitahu sesi peperiksaan awal sedang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sini pada masa sekarang untuk memilih peserta yang layak menyertai Program LEADS pada tarikh itu nanti.
Tambahnya, mereka yang disahkan buta huruf dan tercicir persekolahan pada masa dahulu akan dipilih sebelum menjadi sebahagian daripada 45 peserta yang akan menjalani pembelajaran di keempat-empat lokasi itu kelak.
“KEMAS akan melantik tenaga pengajar dari setiap lokasi pembelajaran tersebut.
“Mereka akan mengikat kontrak selama tiga bulan bagi tujuan itu dengan elaun barisan pengajar ini diberi oleh pihak KEMAS,” kata beliau.
Terdahulu, perlaksanaan Program LEADS ini bertujuan untuk melatih peserta bagi mengenal, menyebut serta menulis huruf dan angka, dapat membaca mengeja, menulis perkataan dan angka mudah serta dapat menyelesaikan kira-kira mudah.
Selain itu, program tersebut dapat melatih peserta membina ayat pendek dan karangan mudah serta melatih mereka untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu aktiviti bersama keluarga.
Program LEADS ini tertumpu di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan penduduk lelaki dan wanita berusia antara 15 hingga 65 tahun disasar bagi tujuan berkenaan.