
LUBOK ANTU: Industri kelapa sawit di Sarawak kini semakin mampan apabila bukan sahaja tertumpu kepada penghasilan minyak mentah semata-mata, malah turut diperkukuh melalui pelbagai aktiviti hiliran yang berpotensi tinggi.
Pendekatan ini bukan sahaja menambah nilai kepada industri, malah turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan berasaskan tanaman tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada mulanya industri kelapa sawit lebih berorientasikan kepada penjualan minyak semata-mata dan sekarang kemajuan teknologi kelapa sawit turut berupaya menghasilkan bahan api bio untuk kegunaan kapal terbang serta dijadikan sumber makanan untuk haiwan ternakan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut sejajar dengan dasar pembangunan Sarawak yang berteraskan ekonomi kitaran iaitu pendekatan yang menggalakkan penggunaan semula bahan bagi mengurangkan pembuangan sisa secara berlebihan yang boleh memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.
“Sarawak sekarang ini amat menekankan industri ‘waste to energy’ yang mana sisa akan menjadi bahan yang boleh diperbaharui dan dibeli oleh orang ramai dalam bentuk produk lain.
“Tadi, saya telah melihat kita mempunyai dua hasilnya (daripada sisa buah kelapa sawit) iaitu yang pertama ialah bahan api bio dan makanan haiwan ternakan termasuk juga baja,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Kilang Pelumat Isirung (KCP), hari ini.
Menurut beliau, hasil produk mesra alam kini ditawarkan harga pasaran global yang premium, menjadikan usaha seumpama ini sebagai salah satu punca pendapatan Sarawak yang baharu.
Jelas beliau, Sarawak amat menekankan pengeluaran produk yang mesra alam menerusi amalan ekonomi kitaran yang menukarkan sisa buangan kepada produk hiliran.
Dalam perkembagan lain, Abang Johari dalam sesi sidang media selepas majlis berkenaan turut mencadangkan agar petani dan penternak di Sarawak terus menceburi idea-idea baharu dalam usaha mereka menambahkan nilai komoditi yang sedia ada.
Katanya, sekiranya perkara tersebut dapat dilaksanakan, impian Sarawak untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan menjadi pengeksport produk tanaman serta ternakan menjelang 2030 dapat dicapai.
“Kebanyakan, pekebun kita mempunyai keluasan tanah seluas dua hektar dan sekiranya tidak menjejaskan tanaman mereka, maka bolehlah ruangan di antara pokok kelapa sawit ini digunakan untuk menternak haiwan.
“Sekarang, kita tidak bergantung kepada padang ragut untuk memberi makanan kepada ternakan, sebaliknya menggunakan sumber makanan lain contohnya rumput napier yang dicampur dengan sisa daripada kelapa sawit.
“Jadi, ia akan menambah pendapatan kepada pekebun kita kerana mereka akan mempunyai dua aliran pendapatan baharu, satunya kelapa sawit dan keduanya ternakan,” jelas beliau lagi. -UKAS