Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • KPKM terap teknologi digital, AI perkasa jaminan makanan mampan
  • KESIHATAN

KPKM terap teknologi digital, AI perkasa jaminan makanan mampan

Utusan Sarawak 24 hours ago
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memperkasakan sektor pertanian negara. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memperkasakan sektor pertanian negara.

Setiausaha Bahagian Pemodenan Pertanian KPKM Azwa Affendi Bakhtiar berkata teknologi AI dimanfaatkan seiring kemajuan kejuruteraan genetik untuk menghasilkan baka ternakan dan tumbuhan yang berkualiti dan berdaya tahan.

Katanya hasil penyelidikan dan pembangunan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan pelbagai produk pertanian baharu termasuk bawang tempatan dan nanas jenis MS16.

“Kita bersama-sama rakan strategik, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan syarikat Aerodyne menempatkan teknologi terkini yang menggunakan digitalisasi termasuk elemen AI dalam aktiviti tiga subsektor utama, iaitu penternakan, pertanian dan perikanan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian di reruai jualan dan pameran yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Katanya penerapan teknologi berasaskan AI juga diyakini mampu mendukung dasar keterjaminan bekalan negara yang lebih mampan dan memacu pengeluaran hasil sektor pertanian, perikanan dan penternakan secara besar-besaran dengan kos yang lebih rendah.

Azwa Affendi berkata ini sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan sektor pertanian sebagai antara sumber eksport utama negara selain memperkukuh potensinya dalam menarik pelaburan asing.

Sementara itu, katanya penyertaan KPKM dalam pameran ini memberi peluang untuk mempamerkan kejayaan teknologi tempatan dan produk pertanian berasaskan eksport termasuk daripada usahawan bimbingan Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan agensi berkaitan.

“Pada masa yang sama, kita mahu berkongsi dengan rakan ASEAN cara kerajaan Malaysia menangani isu-isu keterjaminan makanan terutamanya melalui penggunaan teknologi,” katanya.

Bertemakan The Heritech Malaysia, iaitu mainan kata yang menggabungkan unsur warisan dan teknologi, reruai jualan dan pameran itu menampilkan sejumlah 36 reruai dengan penyertaan 25 pempamer dari pelbagai industri dan syarikat tempatan.

Pameran itu dibuka kepada orang awam sehingga Ahad ini dan pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai demonstrasi penghasilan kraf tangan tempatan secara langsung selain berinteraksi dengan paparan papan digital dan video.

Selain penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di bawah kepengerusian Malaysia yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan diadakan serentak minggu depan. — Bernama

Continue Reading

Previous: Usaha murni kukuh bekalan darah di Kapit diteruskan
Next: Perancis kesan varian COVID-19 terbaharu buat kali pertama

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.