LAWAS: Semua pemimpin politik, parti politik dan individu yang bergelar ahli politik diberi amaran untuk tidak mencemari institusi agama dan gereja sebagai medan berpolitik.
Adalah penting untuk semua pihak berkenaan menjaga kesucian rumah ibadat daripada menjadi gelanggang berpolitik dan memecah belahkan umat Kristian di Parlimen Lawas.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato Henry Sum Agong menjelaskan bahawa institusi gereja adalah tempat untuk beribadat dan menyatukan masyarakat.
Selain itu beliau juga memberi amaran agar tidak menyalahgunakan kedudukan dalam persatuan mewakili kaum atau sebagainya menjadi landasan untuk berpolitik.
Sebaliknya persatuan ini perlu dikukuh dengan nilai murni yang mengerakkan masyarakat untuk bersama membangunkan potensi diri dan ekonomi mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas merangkap Ketua Cawangan Parti PBB Ba’kelalan menyatakan demikian pada mesyuarat Parti PBB Cawangan Ba’kelalan semalam di Hotel Seri Malaysia Lawas.
Henry Sum juga mahu semua yang berminat untuk menjadi calon GPS agar bersikap ‘gentlemen’ tanpa menggunakan nama pihak tertentu sebagai tiket untuk menjadi calon.
Sebaliknya mereka harus akur dengan kehendak rakyat dan juga keputusan Ketua Menteri selaku pengerusi GPS.
“Biarlah kita bersikap ‘gentlemen’ jika ingin menjadi ahli politik dan jangan sabotaj jika tidak terpilih nanti.
Politik adalah untuk masyarakat dan rakyat serta bukan untuk peribadi. Ini kerana akhirnya mandat daripada pengundi menjadi amanah yang mesti digalas dengan penuh tanggungjawab untuk membantu rakyat,” tambahnya.
Seterusnya beliau juga menyeru agar wakil setiap kampung menyenaraikan semua projek yang diperlukan di kawasan masing-masing melalui saluran yang betul.
“Sila beri senarai keperluan di kawasan masing-masing kepada Pusat Khidmat Parlimen Lawas untuk kita ambil tindakan.
Kita mahu agar setiap perkara diperinci dengan baik sesuai mengikut keperluan penting dan kedudukan kewangan kerajaan,” ujarnya.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang dan juga membuat senarai semak bagi persiapan untuk berbagai program parti PBB Cawangan Ba’kelalan.
Turut hadir Ketua Wanita Parti PBB Cawangan Ba’kelalan, Datin Tunong Palong, Ketua Pemuda Parti PBB Cawangan Ba’kelalan Raymond Braim dan ahli jawatankuasa tertinggi parti PBB Cawangan Ba’kelalan.
Oleh Adeng Edrus