
SEREMBAN: Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin banyak digunakan dalam bidang kewartawanan namun kreativiti dan sentuhan ‘magis’ manusia masih menjadi elemen penting dalam menghasilkan berita yang berkualiti dan tepat.
Wartawan sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Choong Mei Chin, 47, mengakui AI mampu mempercepatkan penulisan berita menerusi perolehan maklumat dan data yang pantas tetapi pengamal media tidak boleh bergantung kepada teknologi itu sepenuhnya kerana masih perlu memeriksa kesahihan kandungan tersebut.
“Saya pernah menggunakan AI dalam penulisan tetapi sebagai bantuan untuk penterjemahan, mencari sudut berita dan menyemak fakta serta transkripsi wawancara. Jika terlalu bergantung kepada AI boleh menjejaskan kreativiti dan kualiti serta mungkin menyebabkan wartawan kurang berfikir.
“Sebagai contoh, kita nak lapor berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN, maklumat yang disampaikan oleh wartawan perlu tepat kerana ia dibaca masyarakat seluruh dunia dan media membawa nama negara,” katanya kepada Bernama.
Choong yang telah berpengalaman lebih 20 tahun berkata AI bukanlah ancaman tetapi revolusi yang perlu dihadapi dengan bijak kerana sekiranya disalahgunakan ia mampu melemahkan kemahiran menulis sekali gus menyebabkan kualiti penulisan menurun dan menjejaskan kredibiliti.
Melontarkan pandangan sama, wartawan sebuah agensi berita, Nurashikin Haron, 30, berkata penggunaan AI sememangnya memudahkan kerja dan panduan bagi menjana idea untuk menjadikan sesuatu kandungan itu lebih pelbagai, namun kebergantungan terhadap teknologi itu mungkin membuatkan wartawan menjadi malas.
“Saya tidak pernah menggunakan AI seperti ChatGPT tetapi banyak gunakan Google untuk cari maklumat, kadangkala di platform itu sendiri akan keluar hasil daripada sumber AI. Ia sebenarnya membantu dalam membuat carian dan boleh jadikan wartawan lebih produktif.
“Bagaimanapun, hasil dikeluarkan AI mungkin agak ‘kosong’ kerana cariannya berdasarkan data dalam ‘cloud’ dan secara dasar sahaja, berbanding tulisan yang datang daripada hati, emosi dan tenaga yang disampaikan oleh penulis yang boleh kita rasai keikhlasan sesuatu artikel itu,” katanya yang berkerja dalam industri media sejak 2019.
Nurashikin berkata AI tidak harus dijadikan satu-satunya ‘tongkat’ dalam menghasilkan kandungan berita dan wartawan muda perlu terus mengasah kemahiran menulis serta berfikir secara kritis bagi memastikan hasil karya mereka relevan dan menarik.
Sementara itu, Pakar Komunikasi Politik dan Media Sosial Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Faizal Kasmani tidak menafikan aplikasi janaan AI seperti ChatGPT memberikan impak besar dalam penulisan berita kerana informasi serta kepantasannya boleh ‘menulis’ dan menyamai format sesebuah berita.
Bagaimanapun, beliau berkata kualiti berita yang dihasilkan AI jika tidak disemak boleh menjadi tidak tepat, khususnya di era media sosial yang berita perlu disebarkan dengan pantas menyebabkan kebergantungan kepada teknologi itu sangat tinggi.
“Penggunaan AI tidak boleh dielakkan, ia adalah alat untuk membantu kita menjalankan tugas dengan lebih efisien seperti Google, Canva dan sebagainya. Justeru, wartawan pada hari ini perlu menggunakan AI bagi membantu mereka menulis berita dengan lebih tuntas dan pantas tetapi tidak boleh menyerahkan semua kepada AI,” katanya.
Pengarah Pusat Komunikasi USIM itu turut berkata meskipun AI boleh menulis berita, ia tidak mampu menjadi ‘seorang’ wartawan dan ia hanya menulis berita berdasarkan maklumat yang diberikan oleh manusia.
Tambah Mohd Faizal teknologi itu tidak boleh menjalankan penyiasatan, bertanya soalan, menyediakan petikan, menghasilkan ayat pendahuluan yang tepat untuk sesuatu berita atau membuat keputusan sama ada sesuatu acara itu mempunyai nilai berita atau tidak.
“Mahu atau tidak, AI merupakan teknologi yang akan digunakan oleh industri media pada hari ini terutama bagi penghasilan kandungan yang asas dan generik atau membantu pemain industri menghasilkan sesuatu dengan lebih efisien,” katanya.
Namun, beliau berkata industri memerlukan kandungan asli dan unik yang hanya mampu dihasilkan oleh manusia dan kebergantungan kepada AI untuk menyediakan bahan akan menjadikan sesuatu kandungan itu generik dan serupa sekali gus tidak tahan lama.– Bernama