


ORANG ramai tidak melepaskan peluang melihat pelbagai sumber bacaan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini. PBAKL 2025 bermula hari ini hingga 1 Jun ini menyaksikan penganjuran terbesar dalam sejarah yang mengambil bahagian termasuk pameran antarabangsa. Lebih 1.9 juta pengunjung dijangka mengunjungi PBAKL 2025 sepanjang 10 hari penganjuran. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 140 judul buku terbitan Balai Seni Negara akan dibawa khas ke reruai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, selama 10 hari bermula hari ini.
Unit Komunikasi Korporat Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan buku berkenaan merangkumi koleksi penulisan daripada pengkaji dan tokoh seni tanah air yang menghimpunkan wacana, dokumentasi serta sorotan penting berkaitan pameran yang pernah dianjurkan oleh pihaknya.
“Buku-buku ini bukan sahaja memperkaya wacana seni tempatan, malah turut menjadi rujukan penting bagi pelajar, pengkaji serta peminat seni visual tanah air. Selain penerbitan, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan cenderamata eksklusif Balai Seni Negara.
“Barangan yang boleh didapati antaranya ialah botol minuman (tumbler), beg jinjing, topi, buku catatan, poskad dan pelbagai barangan istimewa lain yang sesuai untuk pengumpul dan pencinta seni visual,” menurut kenyataan itu.
Pelbagai aktiviti menarik serta program kreatif untuk seisi keluarga, di samping bahan bacaan seni visual yang berkualiti tinggi ditawarkan kepada pengunjung di reruai yang terletak di Aras 4, Khemah Plaza Merdeka (Marquee Tent), reruai 9-16.
Kenyataan itu memaklumkan, pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif turut disediakan sepanjang tempoh pameran berlangsung antaranya ‘Blooming Joy: DIY Bookmark & Doodle Charm: DIY Keychain’, ‘Luahan Kata’, ‘Live Caricature & Tutorial for Easy Sketching Steps by Kak Ai’, ‘Calligraphy with You’ dan ‘Shrink Plastic Demo’ yang dijangka mendapat sambutan ramai khususnya daripada keluarga dan pengunjung muda.
Bagi acara kemuncak, pengunjung berpeluang menyaksikan atau menyertai sesi istimewa, dan mereka dijemput untuk mengambil bahagian dalam sesi ‘Live Book Sketching’ yang akan menampilkan sasterawan tersohor tanah air Datuk Dr Lim Swee Tin yang akan mengenakan kostum ‘Menora’, dan akan diadakan pada hari terakhir PBAKL 2025.
Selain itu, kenyataan itu menyebut pelbagai aktiviti interaktif lain disediakan dan terbuka untuk penyertaan secara jumpa terus sepanjang program berlangsung termasuk aktiviti susun padan gambar karya daripada Koleksi Seni Visual Negara serta aktiviti mewarna, yang direka khas untuk menggalakkan penghayatan seni dalam kalangan pengunjung pelbagai peringkat umur.
Dalam usaha membawa seni lebih dekat kepada masyarakat, Balai Seni Negara turut mengambil bahagian di Pentas Plaza Merdeka dengan pengisian program khas seperti sesi sembang santai bersama Dr U-Wei Haji Saari dan Mustaffa Ahmad Hidzir (Tapa Otai) berkenaan foto buku ‘STAGES’ 0.1 serta bengkel seni bersama UNEH.
“Kesemua program ini dirangka dengan pendekatan segar, inklusif dan mesra pengunjung, selaras dengan misi Balai Seni Negara untuk memasyarakatkan seni dalam bentuk yang mudah diakses dan difahami,” menurut kenyataan itu.
Balai Seni Negara turut mengadakan jualan buku secara kombo dengan tawaran harga yang menarik penganjuran PBAKL 2025 dan orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan reruai Balai Seni Negara dan merebut peluang mendapatkan koleksi buku dan cenderamata seni yang eksklusif.
Maklumat lanjut mengenai penyertaan Balai Seni Negara di PBAKL 2025, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.– Bernama