
PETRA JAYA: Adam Yii Siew Sang (GPS-Pujut), mengemukakan beberapa cadangan penting dalam sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.
Dalam perbahasannya, Adam menekankan keperluan untuk meminda Ordinan Elektrik sedia ada yang menurutnya menindas pemilik baharu atau penyewa premis yang terpaksa menanggung tunggakan bil elektrik oleh penghuni terdahulu.
“Adalah tidak adil untuk seseorang menanggung hutang orang lain.
“Jika pemohon baharu dapat mengemukakan bukti seperti perjanjian sewaan atau akuan berkanun yang menunjukkan tiada hubungan dengan penunggak, SEB hendaklah membenarkan sambungan elektrik diteruskan,” katanya ketika perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 di sini, hari ini.
Adam turut mencadangkan penggunaan meter elektrik prabayar, khususnya bagi hartanah sewaan, sebagai langkah mencegah tunggakan bil dan menggalakkan penggunaan tenaga secara berhemah.
Beliau turut membangkitkan rungutan daripada kalangan pengusaha perniagaan di Miri berkenaan proses permohonan bekalan gas berpaip yang memakan masa lama serta kos sambungan yang tinggi.
“Proses yang lambat dan tidak jelas ini memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan dan menjejaskan kepercayaan pelabur.
“Saya cadangkan agar mekanisme permohonan pantas diwujudkan, serta insentif pemasangan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” tegasnya.
Dalam pada itu, Adam turut menyuarakan isu berkaitan penduduk tetap jangka panjang di Sarawak, termasuk warga Malaysia bukan anak Sarawak dan warga asing, yang tidak dibenarkan terus menetap selepas bersara walaupun telah lama menyumbang kepada negeri ini.
“Ramai antara mereka telah berkhidmat puluhan tahun, memiliki keluarga dan harta di sini.
“Saya rayu agar kerajaan mempertimbangkan skim khas Pas Penduduk Tetap Sarawak untuk membolehkan mereka terus menetap selepas bersara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah ini adalah penting bagi mewujudkan persekitaran perkhidmatan awam yang lebih adil, cekap dan mesra rakyat, serta menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
Oleh Norman B.