Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Eco-Shop kekal positif terhadap prestasi, persekitaran peningkatan harga
  • BISNES

Eco-Shop kekal positif terhadap prestasi, persekitaran peningkatan harga

Utusan Sarawak 23 hours ago
PENGERUSI Eco-Shop Marketing Berhad Datuk Chan Wah Kiang (tiga, kiri) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Eco-Shop Marketing Berhad Datuk Seri Lee Kar Whatt (tiga, kanan) semasa majlis penyenaraian Eco-Shop Marketing Bhd di Bursa Malaysia hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Jessica Ng (dua, kiri). Peruncit isi rumah Eco-Shop Marketing Bhd kekal optimistik mengenai prestasinya walaupun harga produk dinaikkan kepada RM2.60 daripada RM2.40 bulan lepas. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Peruncit barangan isi rumah Eco-Shop Marketing Bhd kekal optimis terhadap prestasinya meskipun menaikkan harga barangannya daripada RM2.40 kepada RM2.60 bulan lepas.

Ketua Pegawai Kewangannya Chong Yew Kai berkata syarikat itu menaikkan harga daripada RM2.20 kepada RM2.40 pada 2022 tanpa menerima sebarang reaksi negatif daripada pasaran.

“Saya tidak melihat sebarang perubahan dalam prestasi syarikat (selepas kenaikan harga), semuanya seperti yang dijangkakan. Jadi, kami tidak melihat sebarang reaksi negatif daripada pasaran.

“Sudah tentu kami kini dalam tempoh peralihan. Kami menjangkakan prestasi yang kukuh pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media selepas penyenaraian hari ini.

Baru-baru ini, Eco-Shop mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM61.72 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025, berbanding RM42.57 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi suku itu, hasil turut meningkat sebanyak 17.2 peratus kepada RM736.35 juta berbanding RM628.41 juta sebelum ini, didorong oleh peluasan rangkaian kedai kumpulan dengan pembukaan 26 cawangan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 349 dalam suku berkenaan berbanding 278 dalam suku ketiga tahun kewangan 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Eco-Shop Jessica Ng berkata syarikat akan menilai peluang untuk meneroka pasaran ASEAN pada masa hadapan, memandangkan segmen kedai runcit harga tetap (dollar shop) di rantau ini masih baru.

Kedai runcit harga tetap menawarkan pelbagai produk pada harga rendah dan tetap, termasuk barangan harian seperti keperluan rumah, snek, barangan penjagaan diri serta alat tulis dan perkakasan.

Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini kumpulan akan menumpukan kepada pengembangan perniagaan dalam negara agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati akses kepada produk mampu milik.

Setakat hari ini, Eco-Shop mempunyai 358 cawangan di Malaysia, terdiri daripada 336 kedai Eco-Shop dan 22 kedai Eco-Plus.

Hari ini, Eco-Shop membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.25, iaitu premium sebanyak 12 sen berbanding harga tawaran awal (IPO) RM1.13, dengan 25 juta saham diniagakan.

Melalui proses penyenaraiannya, syarikat berjaya mengumpul dana sebanyak RM419.87 juta, dengan RM200 juta atau 51 peratus akan digunakan untuk pengembangan pusat pengedaran, RM56.27 juta (14.4 peratus) bagi pembukaan kedai baharu, dan RM8.52 juta (2.2 peratus) untuk perkakasan dan perisian IT.

Sementara itu, sebanyak RM100 juta atau 25.5 peratus akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, manakala RM27.32 juta (7.0 peratus) diperuntukkan untuk perbelanjaan IPO dan penyenaraian, kata syarikat itu.– Bernama

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan
Next: Negara G7 bersatu dalam usaha stabilkan pasaran global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.