
PETRA JAYA: Jumlah sebenar tambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Sarawak belum dimuktamadkan.
Malah belum ada keputusan muktamad mengenai tarikh untuk kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini.
Perkara ini diberitahu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada sesi soal-jawab di sidang DUN di sini hàri ini.
Menjawab soalan Dato Sri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan), beliau berkata perbincangan sedang diteruskan mengenai tuntutan satu pertiga jumlah kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat.
“Kerajaan Sarawak konsisten dalam tuntutan ini, seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Oleh itu, jumlah sebenar kerusi tambahan belum dimuktamadkan,” katanya.
Soon Koh ingin tahu jumlah sebenar kerusi parlimen dan DUN tambahan serta bila tarikh untuk kajian semula kawasan pilihan raya di negeri ini.
Kali terakhir kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak ialah pada 2015, manakala di Sabah pula 2017.
Kajian itu adalah bagi setiap lapan tahun. Sepatutnya kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak ialah pada 2023 dan Sabah pula pada 2025.
Sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, komposisi Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia kurang daripada dua pertiga.
Bila Singapura sudah tiada, kesemua 15 kerusi Parlimen Singapura ketika itu diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tanpa dibahagi kepada Sabah dan Sarawak.
Mengikut MA63 termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu.
Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu. Namun, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, seperti dijanjikan dalam MA63.
Sejak itu, apabila proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan di seluruh negara setiap lat lapan tahun, Sabah dan Sarawak kekal di bawah paras 35 peratus di sebalik jumlah kerusi Parlimen semakin bertambah.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen iaitu menepati 35 peratus.
Oleh Kadir Dikoh