Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Pesara tentera gigih hasilkan produk soya halal
  • RENCANA

Pesara tentera gigih hasilkan produk soya halal

Utusan Sarawak 1 day ago

PENGUSAHA Mie Soya Enterprise Zuhaymee Mustapa bersama isterinya Nor Aza Jais menunjukkan produk yang dihasilkan di kilangnya di Taman Jujur, Sikamat, baru-baru ini. Kesukaran mendapatkan produk berasaskan soya yang diyakini halal mendorong seorang pesara tentera untuk menghasilkan sendiri bahan makanan tersebut di sini sejak 30 tahun lepas. Zuhaymee Mustapa, 56, berkata kebimbangan terhadap kebersihan dan cara penyediaan produk tersebut yang dijual secara komersial pada ketika itu menjadi titik tolak kepada inisiatifnya, sekali gus memastikan pengguna terutama umat Islam menikmatinya tanpa keraguan. FOTO BERNAMA

KESUKARAN mendapatkan produk berasaskan soya yang diyakini halal mendorong seorang pesara tentera untuk menghasilkan sendiri bahan makanan tersebut di sini sejak 30 tahun lepas.

Zuhaymee Mustapa, 56, berkata kebimbangan terhadap kebersihan dan cara penyediaan produk berkenaan yang dijual secara komersial pada ketika itu menjadi titik tolak kepada inisiatifnya sekali gus memastikan pengguna, terutama umat Islam menikmatinya tanpa keraguan.

“Kebanyakan dulu kalau nak dapat produk daripada soya yang dihasilkan oleh orang Islam agak sukar, saya fikir baik saya mulakan, setiap produk yang dihasilkan bukan dilihat kepada kuantiti tetapi kualiti akhir supaya mempunyai kelainan dari segi rasa, tekstur dan paling penting diyakini halal.

“Bukan mudah kita nak dapatkan tauhu putih atau tauhu lampung yang betul-betul halal dan dibuat oleh bumiputera, sebab itu saya berazam untuk terus berusaha memastikan produk kami ini terus berada di pasaran,” katanya yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia pada 2001 itu kepada Bernama.

Mempunyai sebuah syarikat dengan nama Mie Soya Enterprise, beliau berkata tiga pekerja dalam kalangan penduduk setempat turut diajar menjaga kebersihan selain membaca kalimat suci dalam apa juga kerja yang dilakukan bagi mendapatkan barakah dalam berniaga.

Bapa kepada tiga cahaya itu berkata kesemua produk keluaran syarikatnya mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), justeru pengguna tidak perlu merasa bimbang.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam perniagaan itu, Zuhaymee berkata beliau sebelum ini hanya menjual air soya dan tau fu fa dengan menggunakan motosikal roda tiga dari rumah ke rumah dan di pasar malam secara kecil-kecilan pada 1995.

Namun, demi merealisasikan hasrat untuk mengembangkan perniagaannya, Zuhaymee nekad mendapatkan sebuah premis di Taman Jujur, Sikamat untuk dijadikan kilang pemprosesan produk berasaskan soya, termasuk tauhu putih, tauhu goreng, tempe, dan tauhu lampung yang beroperasi sejak 2006 sehingga kini.

“Sebelum membuka kilang itu, saya hanya usahakan produk di rumah, saya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian Daerah Seremban bernilai RM20,000 dan geran lain, termasuk dari Kementerian Kewangan untuk menjalankan perniagaan dalam berskala lebih besar,” katanya.

Anak kelahiran Kedah itu mengakui bukan mudah untuk menembusi pasaran terutama produk soya yang sinonim dengan masyarakat Cina, tetapi dengan usaha gigih dan komitmen terhadap kualiti produknya kini mendapat tempat di hati pelanggan.

“Walaupun pada awalnya susah untuk kita dapatkan tempat di pasaran luar, tetapi Alhamdulillah produk kami semakin dikenali bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi hampir semua negeri kecuali Sabah Sarawak kerana jarak yang terlalu jauh bimbang produk yang dihantar rosak,” katanya.

Zuhaymee berkata 6,000 keping tempe, 2,000 tauhu putih, 8,000 tauhu lampung serta 2,000 tauhu goreng dihasilkan setiap hari untuk dibekalkan kepada peruncit, termasuk di kedai makan yang membuat tempahan dan memaklumkan kacang soya digunakan diimport dari Kanada dan Amerika Syarikat.

Ditanya antara cabaran dialaminya sepanjang mengusahakan produk itu, Zuhaymee yang dibantu isterinya Nor Aza Jais, 50, beliau berkata mereka pernah kerugian ribuan ringgit kerana masalah bekalan elektrik menyebabkan 60 liter air kacang soya yang dihasilkan rosak.

“Namun, pengalaman itu mengajar supaya sentiasa bersedia dengan kemungkinan, kita ambil perkara itu sebagai sesuatu yang positif, harapan saya semoga terus dapat menghasilkan produk halal,” katanya sambil menambah ketiga-tiga anaknya turut berminat meneruskan perniagaan berkenaan.

Beliau berkata orang ramai yang ingin membeli produknya boleh terus berkunjung ke kilang yang dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 8.30 pagi hingga 1 tengah hari.– Bernama

Continue Reading

Previous: Keldai penting bagi ekonomi Ethiopia
Next: Berani yang tidak disukai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.