
KUCHING: Delegasi daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Ibu Pejabat UKAS di sini hari ini.
Rombongan kunjungan hormat UNIMAS itu telah diketuai oleh Pengarah Korporat UNIMAS, Zulkarnaen Ali serta para pegawai dari Pusat Pembelajaran Fleksibel (CEFLEX) dan organisasi berkaitan Penilaian Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Dalam kunjungan hormat itu, kedua-dua pihak telah membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pendidikan fleksibel serta inisiatif APEL.
Pertemuan ini turut mengetengahkan pelaksanaan APEL sebagai projek rintis yang membolehkan individu yang memiliki pengalaman kerja bertahun-tahun tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik formal seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi atau diploma, untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Sebagai contoh, calon tanpa sebarang kelayakan formal tetapi berpengalaman luas boleh dinilai untuk terus ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, malah berpotensi melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD bergantung pada penilaian APEL.
Turut diperkenalkan kepada pihak UNIMAS ialah program Juh Randau terbitan UKAS bagi penyebaran maklumat yang sejajar dengan inisiatif YAB Premier Sarawak.
Selain itu, pihak UNIMAS turut menawarkan program Open Distance Learning (ODL) dan kursus mikro-pensijilan (Micro-credentials) yang berlangsung pada hujung minggu.
Inisiatif ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan kapasiti sumber manusia Sarawak, sejajar dengan aspirasi negeri untuk membina masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. -UKAS