
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan projek infrastruktur asas dan inisiatif ekonomi setempat demi kesejahteraan rakyat.
Penegasan itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam teks ucapan penggulungan yang dibacakan oleh Lidam Assan (GPS – Katibas) semasa menjawab pertanyaan Allan Siden Gramong (GPS – Machan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
“Kerajaan Sarawak sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat dengan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif baharu demi kesejahteraan rakyat,” menurut teks ucapan itu.
Antara projek yang diketengahkan ialah Bekalan Air Bersih ke kawasan Majau, Mam, Batu Luking, Poi dan Menalun di Kanowit, yang diluluskan di bawah Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Projek ini dijangka memberi manfaat kepada 754 isi rumah melibatkan 43 rumah panjang serta tiga buah sekolah.
Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan mempercepat pelaksanaan projek tersebut memandangkan kos yang melebihi RM50 juta serta potensi kelewatan sekiranya tidak ditangani segera.
Selain itu, cadangan pembinaan jalan sepanjang 12 kilometer dari Rumah Joanis Giri, Nanga Geremai ke Rumah Henry Ajol, Sungai Machan turut dikemukakan.
Projek bernilai RM80 juta itu dijangka merangsang sektor pertanian dan membuka akses kepada 19 rumah panjang yang melibatkan 387 pintu rumah.
“Projek ini membuka peluang kepada penduduk untuk memajukan tanah mereka sebagai kawasan pertanian berpotensi,” jelasnya.
Beberapa laluan di Machan dan Kanowit yang rosak akibat banjir turut dibangkitkan, termasuk Jalan Ranan-Durin, Jalan Lipus, Jalan ke Pekan Machan dan Jalan Batu Luking ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Batu Luking.
“Jalan ke SRK Batu Luking perlu dibaik pulih segera memandangkan keadaan jalan yang tidak selamat untuk murid-murid sekolah,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kajian keselamatan dijalankan di bulatan simpang Kanowit, laluan Lebuh Raya Pan Borneo yang sering berlaku kemalangan.
Cadangan menaik taraf Terminal Bas Pasar Tamu Kanowit kepada Kanowit Economic Centre (KEC) turut diketengahkan bagi memenuhi keperluan ruang niaga dan pejabat komuniti setempat.
“Projek ini bakal menyediakan gabungan ruang pejabat, kios dan kedai yang boleh dimanfaatkan pelbagai jenis perniagaan serta perkhidmatan,” tambahnya.
Permintaan pembinaan dewan masyarakat baharu juga disuarakan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti yang kini sering menggunakan Dewan Pejabat Daerah Kanowit.
Dalam aspek telekomunikasi, Tun Wan Junaidi menyeru kementerian berkaitan menyenaraikan status menara pemancar dan syarikat telekomunikasi yang beroperasi di kawasan DUN Machan, selaras dengan usaha menjadikan Sarawak negeri digital menjelang 2030.
Mengakhiri ucapan, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap dasar ekonomi kerajaan negeri dan menekankan pentingnya kestabilan politik demi kelancaran perancangan pembangunan.
“Kestabilan politik di Sarawak amat penting dalam memperkukuh ekonomi negeri, khususnya dalam bidang perdagangan, perindustrian dan pelancongan,” katanya.
Oleh Amanda L.