
PETRA JAYA: Sarawak sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu kekurangan guru.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata ini termasuk pengambilan khas di bawah skim bawah kontrak perkhidmatan (COS).
Katanya, perkara itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
“Langkah ini melibatkan pelantikan graduan pendidikan serta bukan pendidikan bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di negeri ini.
“Jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan untuk memantau kekosongan guru dan memastikan proses penggantian dapat dilakukan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) pada sesi soal-jawab di sidang DUN hari ini.
Menjawab soalan tambahan Yap, Roland Sagah berkata pihaknya memperkukuhkan kerjasama dengan KPM, SPP, JPNS, institusi latihan perguruan serta universiti tempatan bagi memastikan bekalan guru yang berterusan dan strategik.
“Kami juga menekankan pembangunan profesional berterusan kepada guru bukan opsyen dalam subjek kritikal seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Roland Sagah turut memaklumkan bahawa projek naik taraf dan pembinaan semula sekolah daif sedang giat dijalankan di seluruh Sarawak sebagai sebahagian usaha memperbaiki kemudahan pendidikan.
Berhubung kadar keciciran pelajar, beliau memaklumkan bahawa JPNS secara aktif mengadakan sesi libat urus bersama ibu bapa dan pelajar.
Katanya, statistik menunjukkan penurunan kadar keciciran dalam kalangan pelajar miskin.
Oleh Norman Ebenezer