
KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) menegaskan komitmennya dalam menangani projek perumahan sakit dengan memaklumkan kemajuan dua projek di Matang, iaitu Taman Millennium dan Taman Greenwoods.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata mesyuarat bersama pihak berkepentingan diadakan pada 15 Mei lalu bagi menyelesaikan isu tertunggak serta memberi ruang kepada pembeli mendapatkan penjelasan.
Taman Millennium yang lewat lima tahun dari tarikh serahan asal pada 2020, kini berada di fasa akhir sebelum menerima Sijil Layak Menduduki (OP), selepas menerima Sijil Jalan daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada 30 April 2025. Projek ini sebelum ini tergendala akibat pandemik COVID-19 dan pembubaran syarikat pemaju asal oleh Mahkamah Tinggi pada 2022, namun berjaya diselamatkan oleh pihak pemaju baharu atau ‘White Knight’.
Sementara itu, Taman Greenwoods yang turut tergendala selama lapan tahun, telah memperoleh OP pertama pada 15 April lalu selepas isu pematuhan teknikal diselesaikan secara berperingkat. Sijil Jalan projek tersebut diperoleh lebih awal pada 4 November 2024.
Kerajaan mengakui kelewatan OP telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pembeli dan menyeru pemaju agar segera mematuhi semua syarat teknikal tanpa lengah.
Menurut Tiang, pematuhan bukan satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab undang-undang dan moral kepada pembeli serta kerajaan. Beliau turut mengingatkan semua pemaju agar mematuhi Ordinan dan Peraturan Pemajuan Perumahan yang berkuat kuasa, dan menegaskan bahawa sebarang pelanggaran hak pembeli akan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Memiliki rumah melibatkan pengorbanan seumur hidup. Maka kerajaan akan terus menyokong usaha memulihkan projek-projek perumahan sakit demi kepentingan rakyat,” katanya.
Oleh Amanda L.