
PETRA JAYA: Sarawak masih berdepan pelbagai cabaran dalam usaha membangunkan industri hidrogen sebagai sumber tenaga baharu, terutamanya dari segi keperluan pelaburan awal yang tinggi serta kesukaran menjana pulangan ekonomi dalam jangka masa pendek.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, berkata walaupun industri hidrogen menjanjikan potensi besar dalam jangka panjang, ia masih berada pada peringkat awal berbanding industri tenaga konvensional seperti minyak dan gas.
“Ekonomi Sarawak masih bergantung kepada sektor minyak dan gas yang telah lama bertapak serta mampu menjana pulangan dengan cepat.
“Justeru, adalah sukar untuk industri hidrogen mendapat tempat serta-merta kerana pelabur lebih cenderung memilih sektor yang telah stabil,” katanya ketika menjawab pertanyaan Miro Simuh (GPS – Serembu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur hidrogen termasuk kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan memerlukan pelaburan modal yang tinggi, berbanding industri tenaga sedia ada yang sudah memiliki infrastruktur lengkap dan sistem sokongan menyeluruh.
“Selain itu, penghasilan hidrogen bersih menuntut kepakaran teknikal khusus.
“Sarawak masih berada dalam fasa membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang ini, yang memerlukan masa dan pelaburan dalam latihan serta pendidikan,” jelasnya.
Namun begitu, Dr Hazland tetap optimis bahawa pelaburan strategik yang sedang dilaksanakan akan meletakkan Sarawak pada kedudukan kukuh sebagai peneraju tenaga bersih serantau, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pasaran global bagi hidrogen bersih bernilai ASD1.41 bilion pada 2021 dan dijangka meningkat kepada ASD5.95 bilion menjelang 2030, dipacu oleh permintaan tinggi dalam sektor marin dan penerbangan,” katanya.
Tambahnya, Sarawak mempunyai potensi besar untuk menghasilkan hidrogen bersih pada kos yang lebih rendah dengan memanfaatkan sumber tenaga hidro yang melimpah.
“Topografi Sarawak memberi kelebihan dalam penjanaan tenaga hidro yang kos efektif, membolehkan proses elektrolisis dijalankan secara mampan dan menghasilkan hidrogen tanpa pelepasan karbon,” ujarnya.
Dr Hazland turut menyatakan bahawa projek rintis seperti H2biscus dan H2ornbill serta kerjasama strategik dengan rakan kongsi antarabangsa mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam pasaran hidrogen di Asia.
Sementara itu, menyentuh mengenai peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, beliau berkata kerajaan negeri telah merangka pelan jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional seperti arang batu dan gas.
“Walaupun sumber ini masih diperlukan bagi menjamin kestabilan grid tenaga, loji janakuasa arang batu di Balingian yang mula beroperasi pada 2019 merupakan yang terakhir dibina.
“Kita juga sedang merancang untuk menamatkan operasi loji-loji arang batu yang telah berusia,” katanya lagi.
Dr Hazland menegaskan bahawa melalui pendekatan yang seimbang, Sarawak bukan sahaja dapat memastikan keselamatan tenaga, malah kekal komited terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan tenaga bersih, selaras dengan hala tuju masa depan negeri.
Oleh Amanda L.