Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Spurs juara Liga Europa ranapkan impian United
  • SUKAN

Spurs juara Liga Europa ranapkan impian United

Utusan Sarawak 11 hours ago

Pemain Spurs menjulang trofi Liga Europa. Foto AFP

BILBAO: Jaringan kelam-kabut Brennan Johnson sudah cukup untuk menamatkan kemarau trofi Tottenham Hotspur selama 17 tahun apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dalam aksi final Liga Europa, awal pagi tadi.

Kejayaan di San Mames, Bilbao itu turut menamatkan penantian Spurs untuk merangkul kejuaraan Eropah sejak kali terakhir menjulang trofi pada 1984, sekali gus mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Sebaliknya, kegagalan layak ke saingan utama Eropah itu menjadi tamparan besar buat Manchester United bukan sahaja dari segi maruah, malah turut memberi kesan terhadap kedudukan kewangan kelab.

Ironinya, walaupun menjulang trofi, masa depan pengendali Spurs, Ange Postecoglou masih menjadi tanda tanya susulan kempen domestik hambar apabila skuad kendaliannya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-17 satu anak tangga di bawah United.

Jurulatih dari Australia itu, yang sebelum ini mempertahankan reputasinya dengan menyatakan beliau ‘bukan badut’ menjelang final, akhirnya membuktikan kata-katanya bahawa dia sentiasa menjulang trofi pada musim kedua bersama kelab baharu.

Ribuan penyokong kedua-dua pasukan membanjiri Stadium San Mames dengan pelbagai cara termasuk tidur di dalam kereta demi menjimatkan kos perjalanan, namun apa yang disajikan di atas padang nyata mengecewakan.

Pertemuan antara dua kelab yang masing-masing menghuni tangga ke-16 dan ke-17 liga itu sekadar menyaksikan perlawanan berintensiti tinggi tetapi kualiti rendah penuh dengan kesilapan mudah, kekasaran tidak perlu dan kegugupan yang memuncak.

Begitu banyak pertukaran penguasaan bola berlaku dengan kedua-dua pasukan gagal mengekalkan hantaran kemas. 

Bola sering dihantar jauh secara rawak, manakala aksi bertahan dilihat lebih kepada panik berbanding taktikal.

Pemain pertahanan United, Harry Maguire melakukan halangan penting menafikan percubaan Pape Sarr, selepas Johnson berjaya memintas Luke Shaw di bahagian kanan padang.

Penyokong United pula melaungkan nama Ruben Amorim seakan memberi isyarat sokongan kepada calon jurulatih baharu selepas melalui musim terburuk dalam sejarah EPL sejak setengah abad lalu.

Amad Diallo menjadi antara watak utama buat United, melakukan larian mengelirukan serta percubaan menarik ke arah gawang Spurs.

Namun, gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-42 dan mungkin paling sesuai digambarkan sebagai gol kelam-kabut.

Sarr, yang sebelum itu hanya berjaya melakukan satu hantaran sepanjang babak pertama, melorongkan bola ke tiang yang ditujukan buat Johnson.

Usahanya menanduk terkena bahu Shaw sebelum bola melantun ke kakinya semula dan perlahan-lahan melintasi garisan gol walaupun penjaga gol United, Andre Onana cuba menyelamat dengan lengan terjulur.

Spurs kemudian lebih banyak bertahan di babak kedua, sambil mengintai peluang melakukan serangan balas. 

Dominic Solanke hampir menambah jaringan selepas menerima lorongan Yves Bissouma namun gagal menyudahkannya.

United hampir menyamakan kedudukan apabila penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario gagal menangkap kemas bola sepakan percuma, namun tandukan Rasmus Hojlund berjaya diselamatkan secara akrobatik oleh Micky van de Ven di atas garisan.

Son Heung Min dimasukkan menggantikan Richarlison yang beraksi hambar, manakala United membawa masuk Alejandro Garnacho dan Joshua Zirkzee namun usaha mereka tetap gagal menembusi pertahanan Spurs.

Shaw berpeluang menebus kesilapannya di hujung permainan namun tandukannya ditolak keluar oleh Vicario.

Amorim sebelum ini menyatakan bahawa menjulang trofi mungkin tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman United, tetapi setidak-tidaknya mampu menjadi titik permulaan. 

Namun kenyataan itu tinggal angan-angan apabila United meninggalkan Bilbao tanpa sebarang trofi dan buat pertama kali sejak musim 2014/15, tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan Eropah musim depan. – AFP

Continue Reading

Previous: Kejohanan Pickleball jadi platform persaingan sihat, pupuk semangat kesukanan
Next: Son Heung Min raih trofi Eropah pertama bersama Tottenham Hotspur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.