KUALA LUMPUR: GKash Sdn Bhd akan mengecualikan fi langganan tahun pertama dan caj sediaan bagi aplikasi Gkash Business untuk ahli Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) yang layak dalam usahanya menggalakkan inisiatif pendigitalan dan tanpa tunai oleh kerajaan.
Gkash Business merupakan aplikasi penerimaan pembayaran disatukan berasaskan Android yang menyokong kaedah pembayaran dalam talian termasuk Visa, MasterCard, kad debit/kredit/prabayar UnionPay, e-dompet Touch n’ Go, e-dompet Boost, GrabPay, QRPay Maybank, WeChat Pay dan AliPay.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Gkash, Danny Chong Chee Beng berkata, aliran pengguna pasca-COVID-19 beralih secara pesat kepada dalam talian dan transaksi tanpa tunai.
“Sudah sampai masanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama pengusaha hotel memanfaatkan Geran Padanan Pendigitalan PKS untuk mentransformasikan perniagaan masing-masing secara digital agar kekal relevan dan kompetitif.
“Sejajar dengan inisiatif pendigitalan dan tanpa tunai negara, Gkash berikrar akan menyediakan Gkash Business kepada semua ahli MyBHA yang layak dan mengecualikan fi langganan tahun pertama dan caj sediaan,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata, sumbangan Gkash kepada inisiatif itu bernilai lebih RM600,000 dan berpotensi dimanfaatkan oleh lebih 2,000 hotel di seluruh negara.
“Saya berharap lebih banyak peniagaan akan menyertai aplikasi ini untuk membantu meningkatkan penerimaan tanpa tunai terutama pemilik perniagaan dalam pelancongan.
“Pada akhir tahun lepas lebih 1,000 peniaga menyertai platform itu dan diharapkan dalam tempoh satu tahun lagi kami dapat mencatatkan kira-kira 15,000 akaun peniaga,” katanya.
Beliau berkata Gkash dan rakan kongsi e-dompet komited untuk memasarkan bilik hotel kepada pangkalan pengguna e-dompet utama di Malaysia.
Lebih 10 juta rakyat dianggarkan telah memuat turun dan menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi e-dompet popular.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar berkata sudah masanya hotel bajet di Malaysia membuat perubahan penstrukturan semula besar-besaran dalam model perniagaan mereka bagi memenuhi kebangkitan pasaran pelancongan domestik.
Beliau berkata, hotel bajet yang belum menggunakan sebarang bentuk digitalisasi boleh memanfaatkan platform Gkash serta kepakaran rakan kongsinya untuk menjangkau pasaran lebih luas, menjadi model perniagaan operasi yang lebih cekap dan murah terutama dari segi pembayaran.
“Walaupun Gkash diwujudkan di Hong Kong oleh warga Malaysia, ia kini berpangkalan di Malaysia. Berada di sini bermaksud semua transaksi dilakukan di Malaysia, dan aliran wang tidak keluar dan sekali gus memberi manfaat kepada syarikat kita,” katanya pada bicara khas bertajuk, ‘Memacu PKS ke dalam Dunia Dunia Digital – Usahawan Hotel’. – Bernama