

PETRA JAYA: Program pelepasan anak ikan asli akan diteruskan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan yang melaksanakan projek tagang, sebagai langkah untuk memulihkan ekosistem dan meningkatkan populasi ikan di sungai-sungai negeri ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha ini dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dengan melepaskan spesies anak ikan tempatan seperti empurau, tengadak dan udang galah, yang dibiak melalui stesen perikanan darat di bawah seliaan jabatan tersebut.
“Program ini merupakan antara inisiatif penting dalam mengekalkan kelestarian sumber perikanan darat di Sarawak,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Chee Kadir (GPS – Kabong) pada Persidangan Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya, dengan kerjasama pelbagai agensi, baru-baru ini telah melaksanakan Program Pemburuan Ikan Asing Invasif di Sungai Sarawak.
Tambahnya, program tersebut bertujuan mengurangkan ancaman spesies asing yang mengganggu keseimbangan ekosistem tempatan, serta memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya ikan invasif.
Menurutnya, kaedah tangkapan yang digunakan termasuk joran, jala, pukat, bubu dan taut, dijalankan sepanjang satu kilometer dari Jeti Pasar Basah Petanak hingga ke Jeti Penambang Kampung Gersik.
Ikan asing invasif yang ditangkap akan dilupuskan manakala spesies asli dilepaskan semula ke habitat asal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sedang melaksanakan Projek Pembangunan dan Pengurusan Sumber Perikanan melalui pemasangan tukun tiruan di perairan negeri ini.
“Sebanyak 17 unit Tukun Dasar Lembut telah dilabuhkan di perairan Kabong pada Julai tahun lalu, dan 17 unit lagi dijadualkan pada Ogos ini.
“Kerajaan Sarawak juga memperuntukkan RM30 juta bagi pemasangan tukun tiruan dari 2023 hingga 2025, melibatkan kawasan sepanjang 746 kilometer,” tambahnya.
Oleh Masrin Ariffah dan Norman B