
ALGIERS: Pempelbagaian merupakan langkah penting untuk mengukuhkan keteguhan ekonomi negara-negara Islam serta menggalakkan sara diri dan kestabilan ekonomi jangka panjang, kata Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB), Muhammed Al Jasser pada Selasa.
Bercakap pada mesyuarat tahunan IsDB di ibu negara Algeria, Algiers, Muhammed Al Jasser berkata ketegangan global berkaitan tarif baru-baru ini boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara anggota IsDB dan perkembangan global sedemikian menjadikannya penting untuk mempercepat integrasi ekonomi, membuka akses kepada pasaran alternatif yang berpotensi serta menggalakkan perdagangan dalam kalangan negara anggota.
Mesyuarat selama empat hari itu bermula Isnin dan menghimpunkan gabenor bank dari 57 negara anggota, pegawai, pakar, ahli akademik dan wakil sektor swasta di bawah tema utama ‘Diversifying Economies, Enriching Lives.’
“Dalam landskap global yang semakin kompleks di mana krisis saling berkaitan, ekonomi dunia hari ini berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini – antaranya ketegangan geopolitik yang memuncak, perpecahan ekonomi yang semakin teruk dan kesan perubahan iklim,” kata Al Jasser menurut Anadolu Ajansi.
Beliau berkata faktor itu dan faktor-faktor lain telah menyebabkan kelembapan pertumbuhan global kepada 3.3 peratus pada 2024 dan dijangka menurun lagi kepada 2.8 peratus pada 2025, berdasarkan laporan terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Negara anggota IsDB pula mencatat prestasi ekonomi yang bercampur-campur manakala pertumbuhan ekonomi sedikit perlahan di Asia, Amerika Latin dan Eropah dengan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) menyaksikan penurunan mendadak daripada 5.8 peratus pada 2022 kepada 1.5 peratus pada 2023, sebelum sedikit meningkat kepada 1.6 peratus pada 2024 dan dijangka meningkat kepada tiga peratus pada 2025.
Sebaliknya, rantau Sub-Sahara Afrika menunjukkan model yang memberangsangkan dengan pertumbuhan meningkat daripada 3.7 peratus kepada 4.2 peratus pada 2024. Al Jasser berkata, trend itu dijangka berterusan pada 2025 meskipun berdepan gangguan perdagangan global semasa.
Bagi menghasilkan impak pembangunan yang lebih mendalam dan mampan, beliau berkata Kumpulan IsDB telah mengukuhkan perkongsian strategiknya, meningkatkan struktur tadbir urusnya dan menerima pakai mod pembiayaan inovatif yang berasaskan prinsip kewangan Islam – yang menjadi pemacu sebenar untuk merapatkan jurang pembiayaan di banyak negara anggota.– Bernama-Anadolu