
KUALA LUMPUR: Isu pengurusan sumber asli Sarawak kembali menjadi perhatian nasional susulan penularan video bertajuk “Krisis Petronas & Petros – Hak Negeri atau Persekutuan?” yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat.
Mengulas perkara ini, Naib Presiden Majlis Senator Malaysia, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa Sarawak bertindak berlandaskan undang-undang dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam menegakkan haknya terhadap tanah, minyak, dan gas.
“Ini bukan satu krisis. Ini adalah satu pembetulan sejarah dan perlembagaan yang tertangguh terlalu lama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Undang-undang Persekutuan mengiktiraf hak Sarawak
Menurut Senator Ahmad, kedudukan undang-undang amat jelas.
MA63, bersama Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, memberikan jaminan kepada Sarawak untuk mengurus tanah dan sumbernya.
Hak-hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 95D, Jadual Kesembilan, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO), serta Ordinan Pengagihan Gas 2016.
Beliau turut menegaskan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) tidak terpakai di Sarawak kerana tidak pernah diterimapakai oleh Dewan Undangan Negeri.
Selepas Proklamasi Darurat ditamatkan pada 2011, Sarawak kembali menguatkuasakan kuasa negeri sepenuhnya.
“Ini adalah prinsip perundangan, bukan penolakan politik,” katanya.

Petros adalah entiti sah
Mengulas peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), beliau menjelaskan bahawa syarikat milik penuh kerajaan negeri itu ditubuhkan secara sah di bawah undang-undang Sarawak dan tidak tertakluk kepada PDA74 atau lesen Petronas.
Petros, katanya, turut dikenakan cukai oleh LHDN serta diaudit secara berkala, sekaligus menyumbang hasil kepada kerajaan Persekutuan.
“Semua kontrak sedia ada Petronas kekal diiktiraf. Tetapi kontrak baharu mesti melalui Petros, ini selaras dengan undang-undang negeri,” ujarnya.
Malaysia tidak rugi, malah diuntungkan
Senator Ahmad turut menyangkal dakwaan bahawa tindakan Sarawak boleh melemahkan kedudukan Petronas atau merugikan negara.
Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa pendapatan daripada aktiviti Petros menyumbang kepada pembangunan Malaysia secara keseluruhan.
“Ini bukan soal mengetepikan Petronas. Ini tentang mengimbangi struktur Persekutuan secara adil,” katanya.
Komitmen kepada keselamatan negara
Dalam konteks keselamatan pelantar minyak di Laut China Selatan, beliau memberi jaminan bahawa Sarawak kekal komited bekerjasama dengan pihak keselamatan negara.
“Kedaulatan Sarawak tidak menjejaskan keselamatan Malaysia, malah, menguatkannya,” katanya.
Naratif kerjasama, bukan konfrontasi
Senator Ahmad menolak sebarang tanggapan bahawa Sarawak sedang memusuhi kerajaan Persekutuan atau Petronas.
Sebaliknya, beliau menekankan keperluan untuk mengembalikan semangat kerjasama dalam MA63.
“Sarawak tidak mahu keluar dari Malaysia. Kita cuma mahu kembali kepada semangat asal pembentukan negara,” jelasnya.
Mitos dan salah faham perlu diperbetulkan
Beliau turut menangkis beberapa mitos, antaranya bahawa Petros adalah alat politik atau tindakan Sarawak memecahbelahkan negara.
“Perpaduan hanya kukuh apabila keadilan dihormati,” tegas beliau.
Seruan kepada Persekutuan yang matang
Mengakhiri kenyataan, Senator Ahmad menyeru kepada semua pihak termasuk ahli akademik, media dan rakyat agar menilai isu ini dengan adil berdasarkan fakta dan semangat Persekutuan.
“Kami tidak cari sengketa.
“Kami cuma tuntut pemulihan kepada apa yang telah dipersetujui, dijanjikan, dan kini diiktiraf secara perlembagaan.
“Biarlah Petros menjadi lambang Persekutuan yang matang.
“Biarlah Sarawak menunjukkan teladan,” katanya lagi.