Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Kesilapan paparan Jalur Gemilang perlu ketegasan
  • KOLUM

Kesilapan paparan Jalur Gemilang perlu ketegasan

Utusan Sarawak 1 day ago

KESILAPAN dalam memaparkan Jalur Gemilang bukanlah isu remeh yang boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh sebuah parti politik yang sepatutnya memahami dan menjunjung tinggi simbol kenegaraan.

Baru-baru ini, tular beberapa insiden membabitkan akhbar berbahasa Cina yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan akhbar mereka sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Kesilapan ini mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk teguran daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menegaskan bahawa kesilapan tersebut tidak boleh diterima kerana bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.

Selepas itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Laporan Analisis Keputusan SPM memaparkan bendera mempunyai dua bintang dan hanya lapan jalur merah dan putih, berbeza daripada reka bentuk sebenar yang mempunyai satu bintang dan 14 jalur.

Sebenarnya banyak lagi kes berlaku dalam kalangan syarikat antarabangsa, penganjur sukan, swasta, termasuk institusi kerajaan dan institusi pendidikan yang berlaku dalam pelbagai konteks dan oleh pelbagai pihak.

Dalam satu kes terbaru melibatkan parti politik Pas yang memaparkan Jalur Gemilang secara tidak tepat dalam salah satu bahan promosi mereka.

Dalam konteks ini, beberapa persoalan timbul berkaitan tanggungjawab politik, etika, serta keperluan untuk mewujudkan mekanisme pendidikan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap penggunaan simbol negara.

Kepentingan simbol negara

Pertama sekali, Jalur Gemilang bukan sekadar kain berjalur yang digunakan dalam sambutan Hari Kebangsaan.

Ia adalah simbol kedaulatan, perpaduan dan identiti negara yang lahir daripada perjuangan kemerdekaan dan dimeterai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, kesilapan memaparkannya — sama ada dengan jumlah jalur yang salah, susunan warna yang terbalik atau rekaan bulan dan bintang yang tidak tepat— mencerminkan kelemahan asas dalam penghormatan terhadap lambang negara.

Kesalahan ini menjadi lebih signifikan apabila ia dilakukan oleh parti politik, kerana mereka mempunyai kapasiti institusi dan sumber manusia yang seharusnya mampu memastikan ketepatan segala bahan visual yang dikaitkan dengan imej kenegaraan.

Sikap politik

Ironinya, beberapa parti politik termasuk Pas pernah menjadikan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang oleh syarikat swasta sebagai modal untuk menyerang pihak lain dan mencabar semangat patriotisme mereka.

Namun apabila mereka sendiri melakukan kesalahan sama, mereka memilih untuk hanya mengeluarkan kenyataan maaf tanpa mengambil tanggungjawab lebih mendalam.

Tindakan ini memperlihatkan politik hipokrit apabila prinsip yang digunakan untuk menilai pihak lain tidak digunakan ke atas diri sendiri.

Dalam era digital, sikap sebegini mudah dikesan oleh masyarakat dan memberi kesan buruk terhadap persepsi awam.

Rakyat semakin celik dan menilai integriti bukan hanya pada kata-kata tetapi pada tindakan yang konsisten.

Tanggungjawab moral

Apabila insiden seperti ini berlaku, adalah menjadi kewajipan moral dan etika bagi sesebuah parti politik untuk bukan sahaja memohon maaf, tetapi juga melaksanakan tindakan pembetulan yang konkrit.

Tindakan ini harus merangkumi tiga aspek utama;pertama, pengakuan terbuka dan permohonan maaf rasmi kepada rakyat dan pihak berkuasa; kedua, siasatan dalaman bagi mengenal pasti sumber kesilapan dan melaksanakan tindakan disiplin sekiranya wajar; ketiga, pengukuhan sistem kawalan mutu terhadap sebarang bahan rasmi yang melibatkan simbol negara.

Tindakan seperti ini bukan sahaja akan menunjukkan kematangan politik tetapi juga memperlihatkan komitmen parti terhadap semangat kenegaraan yang sebenar.

Alasan lemah

Alasan yang diberikan oleh sesetengah pihak bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada penggunaan kecerdasan buatan (AI) adalah tidak dapat diterima sebagai justifikasi penuh.

AI adalah alat yang dicipta manusia dan bertindak berdasarkan data dan arahan yang diberikan.

Kesilapan oleh AI sebenarnya adalah manifestasi kecuaian manusia yang tidak menyemak hasil akhir sebelum dipaparkan kepada umum.

Justeru, langkah pencegahan perlu digerakkan ke arah penggubalan garis panduan penggunaan AI dalam komunikasi rasmi, termasuk panduan penggunaan simbol negara.

Dalam hal ini, pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan, boleh memainkan peranan dengan menyediakan garis panduan rasmi yang mudah difahami oleh pengguna AI dan pengeluar bahan digital.

Ketegasan penguatkuasaan

Dalam jangka panjang, persoalan turut timbul sama ada perlu wujud undang-undang khas untuk mengawal kesalahan paparan Jalur Gemilang.

Malaysia sudah pun memiliki beberapa peruntukan yang menyentuh perkara ini, seperti Akta Lambang dan Nama (MencegahPenggunaan Tidak Wajar) 1963.

Namun begitu, kelemahan utama terletak pada pelaksanaan yang tidak konsisten dan penguatkuasaan yang lemah.

Dalam keadaan semasa, penggubalan undang-undang baharu mungkin bukan satu keperluan mendesak, namun penambahbaikan terhadap akta sedia ada adalah langkah wajar.

Sebagai contoh, undang-undang boleh diperluas untuk meliputi kesalahan paparan simbol negara dalam ruang digital termasuk media sosial dan platform promosi politik.

Satu bentuk penalti pentadbiran seperti amaran, denda ringan atau kewajipan membuat permohonan maaf rasmi boleh diperkenalkan untuk kesalahan tidak disengajakan, manakala tindakan lebih tegas boleh dikenakan terhadap kesalahan berulang atau disengajakan. Bagaimanapun, undang-undang bukanlah jawapan mutlak. 

Pemupukan kesedaran sivik

Yang lebih penting adalah pemupukan kesedaran sivik dan pendidikan patriotisme dalam kalangan masyarakat dan parti politik.

Sebuah negara tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata untuk menjaga maruah dan lambangnya.

Ia memerlukan satu sistem nilai yang kukuh, dibina melalui pendidikan, latihan, dan pembudayaan hormat terhadap lambang negara sejak dari peringkat awal persekolahan sehinggalah ke tahap kepimpinan.

Dapat dirumuskan bahawa isu kesilapan paparan Jalur Gemilang bukanlah hanya satu insiden teknikal tetapi merupakan cerminan tahap kepekaan, integriti dan komitmen nasional.

Dalam usaha membina semula kepercayaan rakyat, semua organisasi baik kerajaan, swasta mahupun kalangan parti-parti politik perlu menunjukkan contoh teladan dalam menghormati simbol negara, tidak bersikap hipokrit apabila berdepan kesalahan sendiri, dan bersedia menerima tanggungjawab penuh atas setiap tindakan mereka.

Pendidikan sivik, etika politik, dan kawalan dalaman perlu diperkukuh, manakala penggunaan teknologi seperti AI perlu dilengkapi dengan semakan manual dan pengesahan beretika.

Hanya melalui pendekatan menyeluruh ini, Malaysia boleh memastikan Jalur Gemilang sentiasa dihormati sebagai lambang kebanggaan dan penyatuan bangsa.

Maka pentingnya semua pihak untuk memastikan ketepatan dan penghormatan terhadap simbol kebangsaan kerana ini adalah tanggungjawab semua.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Pengukuhan kuasa Brooke di Rajang
Next: Menunggu Perdana Menteri dari Borneo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.