
MIRI : Seramai 36 peserta termasuk dari Brunei, Indonesia, Semenanjung Malaysia dan pemancing tempatan menyertai Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Bandar Raya Miri edisi ke-13 yang berlangsung hari ini.
Pertandingan ini kembali selepas berehat selama lima tahun akibat pandemik COVID-19.
Majlis pelepasan peserta di Jeti Marina di sini telah disempurnakan Leonard Fong yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting.
Edisi kali ini dianjurkan selama lima hari empat malam di perairan Miri, tempoh yang lebih panjang berbanding format asal empat hari tiga malam.
“Walaupun penyertaan pada tahun ini lebih kecil dengan hanya empat bot yang bertanding, namun tahap sokongan yang diterima adalah yang paling meluas dalam sejarah pertandingan ini.
“Acara ini mendapat sokongan padu dan penyelarasan daripada pelbagai agensi persekutuan dan negeri termasuk pihak penguat kuasa undang-undang dan maritim bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan di laut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, semua peserta dijangka kembali ke darat pada pagi 24 Mei ini manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada 10.00 pagi.
Orang ramai khususnya peminat sukan memancing dijemput hadir ke Jeti Marina Miri untuk menyaksikan detik kemuncak dan kegemilangan pertandingan antarabangsa tahun ini.
Oleh Liong Chai Ling