Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Ayam kampung kacukan semakin jadi pilihan penternak – UPMKB
  • BISNES

Ayam kampung kacukan semakin jadi pilihan penternak – UPMKB

Utusan Sarawak 13 hours ago
DR. Masnindah Malahubban (kiri) meneliti keadaan anak ayam kampung kacukan bersama pelajar di pusat penyelidikan ayam kampung kacukan universiti tersebut. -Foto UPMKB

BINTULU: Ayam kampung kacukan semakin mendapat tempat dalam kalangan penternak tempatan berikutan kadar pertumbuhan yang lebih cepat, ketahanan penyakit yang tinggi, serta kos pemeliharaan yang lebih rendah.

Ketua Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Dr. Masnindah Malahubban berkata, ayam kampung kacukan kini menjadi alternatif utama kepada ayam kampung tradisional dan ayam pedaging dalam industri poltri.

“Salah satu kelebihan utama ayam kampung kacukan adalah kadar pertumbuhannya yang pantas. 

“Contohnya, Ayam Saga keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) boleh mencapai berat 1.2 hingga 1.5 kilogram dalam masa lapan minggu, berbanding 24 minggu bagi ayam kampung asli.

“Begitu juga dengan Akar Putra yang dibangunkan UPM, yang mampu mencapai berat sekitar 1.4 kilogram dalam tempoh kurang 13 minggu,” katanya.

Menurut beliau, ayam kampung kacukan turut memiliki daya tahan penyakit yang lebih baik berbanding ayam pedaging konvensional, sekali gus mengurangkan keperluan terhadap vaksin dan antibiotik.

“Kadar kematian ayam lebih rendah, kos rawatan dapat dijimatkan dan risiko pembangunan bakteria tahan antibiotik juga dapat dikurangkan,” jelasnya.

Katanya, daging ayam kampung kacukan juga lebih berkualiti dengan tekstur pejal, rendah lemak dan tinggi protein, menjadikannya pilihan ideal bagi pengguna yang mementingkan pemakanan sihat.

“Selain itu, rasa yang lebih enak dan beraroma menjadikan ayam kampung kacukan pilihan dalam pasaran premium,” ujarnya.

Mengulas aspek kos pemeliharaan, Dr. Masnindah berkata, penternak boleh memanfaatkan makanan alternatif seperti hampas kelapa, daun ubi kayu, jagung dan sisa organik untuk mengurangkan kebergantungan kepada dedak komersial.

Katanya, penternakan secara lepas bebas (free-range) turut memberi kelebihan kerana ayam dapat mencari makanan tambahan secara semula jadi seperti serangga dan tumbuhan.

“Gabungan faktor ini menjadikan penternakan ayam kampung kacukan lebih lestari dan menjimatkan tanpa menjejaskan kualiti daging,” katanya.

Beliau berkata, permintaan terhadap ayam kampung kacukan di Sarawak semakin meningkat sejajar dengan kesedaran pengguna terhadap keselamatan makanan dan produk semula jadi.

“UPMKB turut menjalankan penyelidikan untuk memastikan ayam kampung kacukan diternak secara lebih semula jadi tanpa sisa antibiotik, selari dengan standard keselamatan makanan,” katanya.

Jelas beliau, fleksibiliti dalam kaedah penternakan ayam kampung kacukan turut menjadikannya sesuai untuk penternakan berskala kecil dan besar.

“Dengan kos permulaan yang rendah dan operasi yang mudah diurus, ia merupakan pilihan terbaik bagi mereka yang ingin menjana pendapatan tambahan atau menceburi bidang penternakan secara serius,” katanya.

Tambah Dr. Masnindah, peralihan kepada ayam kampung kacukan bukan sekadar trend, sebaliknya strategi jangka panjang yang menjanjikan pulangan lebih tinggi dan menyumbang kepada pembangunan sektor penternakan yang mampan.

“Jika anda seorang penternak atau bercadang untuk menceburi bidang ini, inilah masa yang tepat untuk mempertimbangkan ayam kampung kacukan sebagai pilihan utama,” katanya.

Oleh Carolyne Utih

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Prestasi perdagangan Malaysia tumbuh 18.2 peratus
Next: MAG lanjut program penyelenggaraan Airbus untuk pesawat A330neo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.