Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Tiga rakyat Malaysia menerima anugerah ‘World No Tobacco Day Award’
  • KESIHATAN

Tiga rakyat Malaysia menerima anugerah ‘World No Tobacco Day Award’

Utusan Sarawak 16 hours ago
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noraryana Hassan dan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy antara rakyat Malaysia menerima anugerah World No Tobacco Day Award.

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia menerima anugerah World No Tobacco Day Award oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada sesi pembukaan Perhimpunan Kesihatan Sedunia WHO di Geneva, Switzerland semalam, yang pertama dalam sejarah negara.

Mereka ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noraryana Hassan dan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy.

Setiausaha Agung MCTC Muhammad Sha’ani Abdullah menerusi kenyataan hari ini berkata anugerah itu, disampaikan Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei.

“Anugerah global tahunan ini diberikan bagi mengiktiraf sumbangan individu, organisasi dan jabatan kerajaan dari seluruh dunia dalam usaha kawalan tembakau. Ini merupakan kali pertama anugerah ini diberikan kepada penerima dari Malaysia.

“Anugerah ini mengiktiraf peranan mereka dalam pembangunan dan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024, iaitu inisiatif diusahakan sejak Malaysia meratifikasi Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) pada 2005,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Dzulkefly menyifatkan anugerah itu sebagai kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukti komitmen bagi melindungi generasi kini dan akan datang, daripada kesan buruk produk tembakau serta rokok elektronik atau vape.

“Membawa akta ini melalui Parlimen, menuntut kita mengharungi pelbagai cabaran perundangan, ekonomi dan sosial, termasuklah pandemik COVID-19 dan beberapa pertukaran kerajaan. Walaupun akta ini telah diluluskan, usaha kawalan tembakau terus diperkukuh, termasuk menangani isu baharu seperti kebimbangan berkaitan vape,” katanya.

Sementara itu, Dr Noraryana berkata anugerah itu mencerminkan usaha kolektif dan semangat kerja berpasukan termasuk KKM, agensi kerajaan serta rakyat terutamanya organisasi masyarakat sivil, selain menyifatkan kejayaan meluluskan akta tersebut sebagai pencapaian besar.

“Namun, kerja kita belum selesai. Cabaran sebenar adalah dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan untuk memastikan kesan bermakna terhadap kesihatan awam,” katanya.

Dr Murallitharan pula menekankan peranan masyarakat sivil dalam dasar kesihatan dan menyifatkan anugerah itu cerminan usaha bersama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk MCTC yang menghimpunkan organisasi profesional kesihatan, kumpulan komuniti dan institusi akademik demi meningkatkan tahap kesihatan negara.

Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 di Geneva dari 19 hingga 27 Mei dengan tema “Satu Dunia untuk Kesihatan” merupakan badan pembuat keputusan tertinggi WHO dan menghimpunkan wakil dari 193 negara anggota.

Malaysia dijangka membentangkan beberapa intervensi termasuk mengenai Resolusi Kesihatan Paru-Paru Bersepadu pada perhimpunan itu.– Bernama

Continue Reading

Previous: Hospital Sibu anjur Kempen Derma Darah
Next: Gout masalah kesihatan semakin membimbangkan di Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.