
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan hubungan udara dengan China apabila penerbangan sewa berjadual sulung 9Air dari Haikou mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 5.10 pagi tadi, sekali gus membuka satu lagi laluan strategik kepada pasaran pelancongan dan perniagaan negara itu.
Penerbangan AQ1295 yang dikendalikan secara berjadual dua kali seminggu itu membawa kumpulan penumpang pertama termasuk Penolong kepada Presiden 9Air merangkap Pengurus Besar Jabatan Rangkaian Laluan, Cai Xing.
Perkhidmatan Haikou–Kuching ini beroperasi pada jadual berkitar setiap Selasa dan Sabtu pada satu minggu, diikuti Khamis pada minggu berikutnya.

Penerbangan ini berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Meilan pada 1.35 pagi (waktu Beijing) sebelum tiba di LTAK pada 5.10 pagi, dan kembali ke Haikou pada 6.20 pagi.
Pelancaran laluan ini menjadikan Kuching destinasi kedua 9Air di Malaysia selepas Kuala Lumpur, menandakan perkembangan pesat syarikat penerbangan kos rendah itu dalam memperluas rangkaian ke Asia Tenggara.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin yang hadir menyambut ketibaan rombongan tersebut berkata, pihaknya menyambut baik komitmen 9Air dalam membangunkan hubungan terus dengan Sarawak.
Beliau turut menggalakkan 9Air mempertimbangkan laluan terus dari Guangzhou dan Shenzhen ke Kuching, memandangkan kedua-dua bandar itu merupakan pusat ekonomi utama dengan hubungan rapat terhadap Sarawak.
“Pembukaan laluan ini merupakan permulaan yang baik. Kita berharap 9Air dapat menilai potensi membuka laluan Guangzhou–Kuching dan Shenzhen–Kuching kerana ia dapat meningkatkan lagi aktiviti perniagaan, pelaburan serta hubungan rakyat kedua-dua wilayah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar 9Air meneroka peluang menerbangkan pesawat terus ke Miri, yang kini berkembang pesat selaras pembangunan pendidikan, penyelidikan perubatan serta pertumbuhan sektor perniagaan.
“Kedudukan Miri sebagai Pintu Gerbang Utara Sarawak dan jaraknya hanya sedikit lebih tiga jam dari Guangzhou atau Shenzhen memberi kelebihan besar dalam merancang sambungan masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata, Sarawak turut dijangka menerima beberapa lagi penerbangan carter atau sewa khas dari China bulan depan, menggambarkan minat semakin meningkat dalam kalangan pelancong negara itu.
Dalam sesi libat urus di lapangan terbang, Cai Xing berkongsi gambaran keseluruhan strategi dan prestasi 9Air.
Katanya, syarikat itu kini mengendalikan 27 pesawat di bawah model kos rendah dengan purata faktor muatan sekitar 90 peratus dan melebihi 95 peratus bagi penerbangan dari hub utama mereka di Guangzhou.
Menurutnya, perkhidmatan Haikou–Kuching ini akan menjadi asas penilaian pasaran, permintaan penumpang serta kelayakan operasi sebelum syarikat mempertimbangkan laluan tetap pada masa akan datang.

Beliau mengakui potensi cerah bagi laluan terus Guangzhou–Kuching, selain menyatakan kesediaan menilai kemungkinan laluan Shenzhen–Miri atau Guangzhou–Miri bergantung kepada permintaan pasaran.
Pelancaran perkhidmatan baharu ini turut didorong oleh dasar pengecualian visa dua hala antara Malaysia dan China yang berkuat kuasa Julai lalu, sekali gus menyaksikan peningkatan ketara permintaan perjalanan antara kedua-dua negara.
Selain Kuching, 9Air akan melancarkan laluan Haikou–Pulau Pinang pada 18 November ini, menjadikan tiga bandar di Malaysia dalam rangkaian syarikat itu dan memperkukuh komitmen untuk meningkatkan konektiviti serantau.
Turut hadir di LTAK ialah Pengurus Kontrak 9Air, Zhou Pu, Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah dan Penasihat Teknikal MOTS, Sio Yew Hua.