BAU: Projek naik taraf Jalan Kampung Tanjung Poting, Kampung Tanjung Bowang dan Kampung Senibong di kawasan Singai akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep berkata, projek tersebut telah dimohon pada tahun 2016 namun terpaksa berdepan dengan kekangan peralihan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan sebelum ini.
“Saya bersyukur kerana projek naik taraf jalan berkenaan dapat diteruskan selepas kerajaan Perikatan Nasional menerajui kerajaan pusat,”katanya.
Menurut beliau, memang sudah ada perancangan sebelum ini tetapi disebabkan masalah peralihan kuasa yang dihadapi, menyebabkan projek tersebut mengambil masa hampir lima tahun untuk diteruskan.
“Disebabkan dua tahun ditangguh maka itulah sebabnya projek ini dimulakan pada tahun ini (2021),” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan cek pampasan bagi projek naik taraf jalan Kampung Tanjung Poting, Kampung Tanjung Bowang dan Kampung Senibong, baru-baru ini.
“Projek naik taraf jalan tersebut kelak akan memudahkan pergerakan penduduk selain mengelak banjir berlaku,”tambahnya.
Dalam majlis itu, bayaran pampasan tanah sebanyak RM1.76 Juta diberikan kepada 99 orang penerima, manakala empat lagi pakej akan dibayar kemudian oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Sementara itu, beliau berharap penduduk yang belum menerima pampasan tanah agar bersabar dan terus memberi kerjasama dengan pihak berkaitan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Alfian Bawi.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ