KABONG: Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) B2 menawarkan bantuan lesen motosikal Kelas B2 telah disertai seramai 970 calon terdiri daripada individu dari golongan B40 berusia 16 tahun ke atas dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penerima bantuan hanya perlu membayar RM250 berbanding harga biasa RM750 iaitu penjimatan sebanyak RM500.
Justeru, beliau amat menghargai kegigihan semua peserta menyertai program sebegini dalam mengambil peluang untuk mendapatkan lesen.
“Saya ucapkan tahniah kepada para peserta semua kerana usaha ingin membuat lesen, ertinya kamu adalah warganegara Malaysia yang baik tidak mahu langgar undang-undang dan mahu memiliki lesen.
“Ini satu kemudahan bagi mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas untuk memiliki lesen menunggang motosikal Kelas B2. Golongan sasar bagi pelaksanaan program BLM ini adalah pelajar sekolah menengah di kawasan DUN Kabong termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong,” katanya.
Chee Kadir berkata, program ini harus diadakan berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan mendapatkan lesen kenderaan dan ia antara usaha kerajaan untuk memastikan rakyat tidak menunggang motosikal tanpa lesen.
Tambahnya, langkah kerajaan ini juga adalah untuk memastikan rakyat mendapat perlindungan yang sepatutnya di samping mengurangkan kemalangan di jalan raya melalui pendedahan peraturan dan undang-undang yang telah dibuat oleh agensi kerajaan.
Dalam pada itu, sesi pendaftaran calon, ceramah Kokurikulum Pendidikan Pemandu (KPP 01) dan ujian bertulis untuk program BLM telah diadakan di Dewan MCK SMK Kabong hari ini.
Turut hadir, Ketua Cawangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei, Yusuf Andan, Pengetua SMK Kabong, Iman Joni; Pegawai Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir dan pihak Akademi Memandu ING, Sarikei.
Oleh Adi Saparman