KUCHING: Sarawak berada di dalam keadaan terkawal dengan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 97 peratus.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sehubungan itu menyeru rakyat Sarawak supaya terus mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan demi mengekang penularan COVID-19 daripada terus merebak.
“Walau kita lihat banyak kenderaan di jalan raya, tetapi pematuhan rakyat agak baik dengan sebanyak 97 peratus.
“Semalam pihak Polis telah menangkap 13 orang di Sarawak kerana melanggar PKP dan 110 orang telah dikompaun.
“Sehingga hari ini, sejak PKP bermula 18 Mac lalu, sebanyak 374 orang telah dikompaun dan 586 orang telah ditanggkap,” katanya pada sidang media harian Covid-19 mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.
Mengulas mengenai statistik mengikut daerah orang yang telah dikompaun harian sehingga semalam, Abdul Karim berkata Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 22 orang, diikuti Sibu (20), Sarikei (11), Kota Samarahan (9), Betong (9), Miri (7) dan Bau (6).
“Manakala di Padawan terdapat lima orang dikompaun, Kapit (4), Simunjan (3), Bintulu, Serian, Mato Daro, Song, Marudi, Kanowit dan Lawas masing-masing dua orang.
“Kes tangkapan harian mengikut daerah pula menyaksikan di Mukah tiga orang ditangkap, Limbang (2), Sri Aman (2), manakala Kuching, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bau dan Matu Daro masing-masing seorang,” jelasnya.