
PUTRAJAYA, 18 Julai -- Seramai 62 orang jemaah tabligh, 34 orang gabungan kakitangan kedutaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang India ditutup manakala baki 11 orang merupakan krew Malindo Air selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.?Pesawat Malindo Air OD-0207/0208 daripada New Delhi, India telah selamat mendarat di KLIA pada jam 6.31 pagi membawa pulang seramai 107 orang penumpang. Pesawat ini telah berlepas semalam pada jam 4.20 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi New Delhi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat pandemik COVID-19.?--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEPANG: Sebanyak 96 rakyat Malaysia dari India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam menerusi misi kemanusiaan yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama agensi berkaitan.
Ketua Pengarah Nadma Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu, 62 orang merupakan jemaah tabligh yang terkandas di negara tersebut sejak Februari.
“Selebihnya merupakan 34 warga Malaysia terdiri daripada petugas di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India dan anggota keluarga serta pelancong Malaysia yang terkandas,” katanya kepada pemberita di KLIA di sini semalam.
Mohtar berkata, kesemua warga Malaysia itu tiba di KLIA bersama-sama 11 kru penerbangan Malindo Air OD0208 dari New Delhi yang mendarat pada 6.31 pagi semalam.
“Kesemua rakyat Malaysia yang pulang pada hari ini sudah menjalani tapisan kesihatan di India dan kesemua mereka didapati tidak mengalami apa-apa gejala (Covid-19) yang menghalang mereka daripada menaiki pesawat,” katanya.
Mohtar berkata, kesemua individu yang tiba semalam turut menjalani saringan kesihatan sejurus pesawat mendarat di KLIA sebelum mereka dibenarkan keluar dari balai ketibaan.
Difahamkan kesemua rakyat Malaysia melepasi saringan kesihatan dan ujian Covid-19 yang dilakukan di KLIA.
Katanya, tidak ada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlepas ke India sebelum ini untuk mengiringi kepulangan rakyat Malaysia, yang merupakan misi kemanusiaan kelima bagi Nadma.
Sebelum ini, empat misi kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia yang digerakkan kerajaan itu melibatkan rakyat Malaysia di China, Itali, Indonesia dan Iran.
Kesemua rakyat Malaysia yang tiba semalam terus dibawa ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan bagi menjalani kuarantin wajib 14 hari.
Mereka dilihat dibawa ke pusat pemantauan berkenaan dengan menaiki sembilan bas milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan 15 orang setiap bas bagi menjaga penjarakan sosial.
Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat kurantin wajib di pusat pemantauan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Redzuan Md Yusof dalam kenyataannya berkata, mengambil kira kumpulan itu kembali dari negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19, mereka perlu dikuarantin wajib selama 14 hari di Pusat Pemantauan.
Katanya, Pusat Pemantauan itu akan diselia oleh petugas kesihatan daripada KKM.
“Selain petugas kesihatan, tidak ada perhubungan dengan pihak luar dibenarkan termasuk ahli keluarga. Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar memahami situasi dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini.
“Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis,” katanya. – Bernama