LUNDU: Seramai 96 pesawah padi di Daerah Lundu terlibat dengan penanaman padi Skim Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) di Tanjung Purun dan kesemua mereka berdaftar dengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, daripada 96 pesawah ini, seramai 59 orang telah diberikan Bantuan Subsidi Membajak sebanyak RM600 sehektar.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi membajak bernilai RM18,418.20 pada tahun 2019-2020 akan diberikan kepada pesawah ini.
“Kita anggarkan pada tahun 2021 ini, sebanyak RM38,000 subsidi menuai diperlukan dengan nilai subsidi menuai RM500 per hektar dan anggaran jumlah pemohon bagi khidmat menuai adalah 76 orang pesawah dengan keluasan sawah padi 48.36 hektar,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran Penuaian Padi Sawah di Skim DID, Tanjung Purun di sini, semalam.
Beliau menambah, setakat Januari 2021, sejumlah 87.5 hektar tanah telah dibangunkan melalui skim ini dan 52.5 hektar masih belum diusahakan.
“Jenis padi yang ditanam di Skim DID, Tanjung Purun ini adalah jenis MR269 dan hanya mengambil masa selama 90 hari saja untuk masak berbanding padi konvensional.
“Penggunaan mesin untuk menuai padi seperti yang didemonstrasikan juga mengambil masa yang singkat serta mampu menuai padi sebanyak dua guni dalam masa lima minit,” jelasnya.
Menurutnya, ia semestinya akan memberikan manfaat yang sangat besar kepada pesawah yang berdaftar dengan skim ini.
Beliau juga mahu beras hasil dari tuaian di Tanjung Purun ini akan dikomersialkan untuk dijual di Sarawak.
Oleh ASYRAF HALIM