
BEKENU: Seramai 96 keluarga di sekitar daerah ini menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dalam satu program kebajikan yang diadakan semalam.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, inisiatif murni tersebut bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan, sekali gus memastikan persediaan menyambut perayaan dapat dilakukan dengan lebih lancar dan teratur.
“Program ini mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan komuniti setempat tanpa mengira latar belakang.
“Penganjuran program ini mendapat kerjasama erat daripada Petronas, Pejabat Daerah Subis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sokongan padu komuniti Bekenu yang bersama-sama menjayakan usaha berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, kerjasama strategik antara pihak kerajaan, agensi pelaksana dan rakan korporat dilihat sebagai elemen penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh dan berkesan kepada golongan sasaran.
“Para penerima turut menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya lagi.
Program telah diadakan di Pejabat Daerah Subis, hadir sama ialah Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Pengurus Pejabat Wilayah Petronas Sarawak, Suryani Dohan dan Kakitangan JKM.
Oleh Adum Liu