95 murid SK Kampung Kupang sertai latihan kawad kaki bersama APM Saratok

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 95 murid SK Kampung Kupang menyertai Program Generasi Madani yang menampilkan latihan asas kawad kaki bersama APM Daerah Saratok, hari ini. Foto: APM Saratok

SARATOK: Seramai 95 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang menyertai Program Generasi Madani yang menampilkan latihan asas kawad kaki bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, hari ini.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, program yang berlangsung dari 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai disiplin, kerjasama berpasukan dan asas kawad kaki.

Menurutnya, program berkenaan turut melibatkan 16 guru serta lima anggota APM, menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 116 orang.

“Lima anggota APM telah bergerak ke SK Kampung Kupang seawal 7.00 pagi bagi melaksanakan latihan asas kawad kaki seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sesi latihan bermula sekitar 8.00 pagi dengan penglibatan aktif murid dan pihak sekolah sebelum diteruskan dengan pertandingan persembahan kawad kaki antara kumpulan pada 9.30 pagi.

Pertandingan berkenaan berakhir sekitar 10.30 pagi, dengan setiap kumpulan berpeluang mempamerkan disiplin, kekemasan pergerakan dan semangat berpasukan yang dipelajari sepanjang latihan.

Program kemudian diteruskan dengan sesi pameran APM pada 11.05 pagi bagi memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai peranan serta fungsi agensi berkenaan dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam.

Program berakhir pada 12.00 tengah hari dengan sesi penyampaian penghargaan dan fotografi bersama peserta serta anggota APM.

Nur Athirah berkata, keseluruhan program berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang sesi latihan kawad kaki dan pameran.

“Program ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada murid, malah dapat memupuk nilai disiplin, kerjasama dan keyakinan diri dalam kalangan mereka,” katanya.

Oleh Adi Safarman