
SPAOH: Sebanyak 94 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM1,022,700 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan selain memperkukuh kesejahteraan penduduk luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan MRP tersebut melibatkan dua komponen utama iaitu sumbangan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita rumah panjang sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal tiba.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP DUN Bukit Saban di Rumah Mendit Unsu, Penom Ulu Paku, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited membantu masyarakat luar bandar menerusi pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, beberapa projek pembangunan ekonomi turut dirancang di kawasan tersebut termasuk projek penanaman kelapa sawit dan lada bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi setiap pintu rumah panjang untuk kerja penambahbaikan kediaman demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan bertujuan memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berharap bantuan MRP yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti rumah panjang masing-masing.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Datin Lucy Mary Johnson, Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Pegawai Tadbir Penguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim serta Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie.
Oleh Adi Safarman