
SARIKEI: Sebanyak 90 buah tangki air telah diserahkan kepada beberapa rumah panjang di kawasan Repok sebagai langkah membantu mengatasi masalah tekanan air rendah serta ketiadaan bekalan air terawat yang dihadapi penduduk.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
“Bekalan tangki air ini diperuntukkan khusus kepada kawasan yang menghadapi masalah tekanan air rendah atau tiada bekalan air terawat.
“Ia adalah bagi memastikan penduduk mempunyai sumber air yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, simbolik penyerahan tangki air tersebut telah dijalankan oleh Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili beliau kepada penduduk semua rumah panjang terlibat di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Repok, baru-baru ini.
Rumah panjang yang menerima sumbangan tersebut adalah Rumah (Rh) Rabeling, Rh Keli, Rh Sabah, Rh Endawi Mula, Rh Rosyvia Ubak dan Rh Garai Chugat.
Tiong Sii menegaskan bahawa pihaknya akan terus berusaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu bekalan air di kawasan luar bandar.
“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban penduduk yang terjejas, terutama ketika musim kemarau.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyerahan ini dan berharap penduduk dapat memanfaatkan kemudahan tersebut sebaiknya,” katanya.
Oleh Earl Anek