

SIBU: 90 peratus sumbangan yang diperolehi Kompleks Peryatim Sibu, Kemuyang disumbang oleh orang ramai.
Pengerusi EXCO Peryatim Sibu Dato Mohamad Yusnar Matalie bekata, Kompleks Peryatim Sibu adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu sama seperti NGO yang lain.
Oleh itu, jelasnya, hanya 10 peratus sumbangan adalah daripada kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
“Sebab itu, kami masih mengharapkan bantuan dan sokongan daripada semua ahli masyarakat untuk membantu kita di sini,” katanya semasa berucap pada program Malam Bakat Peryatim Sibu 2020 yang berlangsung di Kompleks Peryatim Sibu di Kemuyang, pada malam Sabtu.
Sehubungan itu, Kompleks Peryatim Sibu buat pertama kali menubuhkan skuad sukarelawan yang berperanan untuk menyebarkan apa-apa sahaja maklumat berkaitan kompleks terbabit kepada orang ramai, kata Yusnar yang juga Ahli Lembaga Peryatim Sarawak.
“Sebab itu kita menubuhkan skuad sukarelawan ini bagi membantu kita mencari dana dan sebagainya.
“Kalau kita mengharapkan 20 orang kakitangan kita, sudah pasti tidak memadai untuk menyampaikan apa-apa sahaja hajat atau maklumat berkaitan Peryatim Sibu kepada masyarakat di luar sana,” katanya.
Menurutnya, seramai 30 orang sukarelawan bagi fasa pertama telah dilantik dan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru, pegawai kerajaan dari pelbagai agensi, termasuk rakan media dari Utusan Borneo.
Dalam pada itu, beliau turut merakam setinggi penghargaan kepada penyumbang Peryatim Sibu yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan mereka untuk keperluan anak-anak yatim di kompleks terbabit.
Katanya, antara penyumbang utama mereka ialah Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce, Dato William Tiu, Pelita Maslaut, Kelab Lions dan lain-lain.
Beliau menambah, sumbangan ini tidak pernah disia-siakan kerana atas sumbangan itu dapat membantu mereka untuk membesarkan anak-anak yatim dengan sempurna.
Dalam pada itu, Yusnar turut berharap pihak telekomunikasi dapat menyediakan jaringan internet yang stabil di kawasan terbabit kerana capaian internet yang lemah menyukarkan anak-anak di kompleks tersebut untuk mengikuti kelas atas talian.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Peryatim Sarawak Mohammad Saleh Hamden dan Pengurus Kompleks Peryatim Sibu Najilanisa Suhaili.
Oleh NURZILLA MOHAMAD