

MIRI: Seramai 90 murid sekolah rendah dari Daerah Miri dan Subis menerima Baucar Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI): Fokus Pendidikan bagi 2026 menerusi satu majlis penyerahan yang berlangsung di pasar raya Hari-Hari Cawangan Senadin, di sini, hari ini.
Program anjuran Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM Sarawak) itu disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Negeri, ICU JPM Sarawak, Dato Jasni Jubli.
Pejabat Pembangunan Negeri menerusi satu kenyataan media memberitahu bahawa kesemua penerima merupakan Ahli Isi Rumah (AIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih dan berstatus Miskin Tegar serta Miskin, melibatkan pelajar sekolah rendah dari kedua-dua daerah berkenaan.
“Menerusi inisiatif tersebut, setiap penerima menerima baucar Pasar Raya Hari-Hari bernilai RM500 yang boleh ditebus bagi pembelian keperluan persekolahan.
“Bantuan bersasar itu dilihat signifikan dalam meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak bagi sesi 2026.
“Penyampaian bantuan sebelum bermulanya sesi persekolahan bukan sahaja memberi kelegaan kepada keluarga terlibat, malah membantu memastikan pelajar dapat memulakan persekolahan dengan lebih selesa dan bersedia,” kata kenyataan itu.
Program Sejahtera MADANI merupakan antara inisiatif kerajaan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan usaha meningkatkan mutu hidup rakyat, khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Inisiatif ini memberi fokus kepada empat teras utama iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan, sejajar dengan enam rukun MADANI — Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Pelaksanaan program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi terus diberi perhatian, khususnya demi kelangsungan pendidikan generasi muda.
Oleh Liong Chai Ling