
SIBU: Seramai 88 kanak-kanak diraikan pada Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan Bahagian Sibu 2025 yang berlangsung hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, pendidikan awal merupakan asas penting dalam membentuk masa depan kanak-kanak, terutamanya dalam proses perkembangan kognitif, sosial dan emosi.
“Pada usia ini, mereka bukan sahaja belajar mengenal huruf, angka, warna dan bentuk, namun turut mempelajari kemahiran berfikir kreatif, menyelesaikan masalah, mengurus emosi dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya.
“Semua ini menjadi asas penting bagi kejayaan mereka di peringkat lebih tinggi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan, Dr Stephen William.
Beliau berkata kejayaan kanak-kanak itu turut disumbang oleh peranan besar ibubapa yang menjadi guru pertama dalam membentuk nilai murni, termasuk sopan santun, disiplin dan sifat hormat-menghormati.
“Apabila kita sentiasa memberi dorongan dan contoh yang baik seperti mengajar sopan santun, hormat-menghormati, disiplin dan kasih sayang, anak-anak kita akan membesar menjadi insan yang berakhlak mulia dan berjiwa Malaysia MADANI,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kanowit.
Sehubungan itu, beliau turut berharap agar Program Pintar Kreatif dan Tabika Perpaduan terus menjadi pemangkin kepada generasi muda yang cerdas mindanya, luhur pekertinya, serta bersatu hatinya.
“Marilah kita bersama-sama memastikan perpaduan, keharmonian, dan pendidikan berkualiti terus menjadi nadi pembangunan masyarakat kita,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting