

SERIAN: Seramai 87 mangsa banjir, terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa, kanak-kanak, warga emas, bayi serta seorang Orang Kurang Upaya (OKU), berjaya dipindahkan dengan selamat ke Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Sorah menggunakan bot setakat 1.00 tengah hari tadi.
Pemindahan dilakukan ketika paras air dilaporkan terus meningkat susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan berkenaan.
Pemindahan tersebut dilakukan menerusi rondaan Monsun Timur Laut (MTL) dan pemantauan kawasan berisiko banjir yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melalui Balai Bomba dan Penyelamat Serian di Kampung Sorah Melayu, bermula 8.02 pagi.


Operasi ini melibatkan kekuatan lima anggota, diketuai oleh PBKI Rosnani Malong, dengan sokongan logistik sebuah Toyota Hilux dan sebuah bot.
Menurut Laporan Pemantauan dan Pemindahan Mangsa, setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku banjir kilat seperti yang dilaporkan oleh penduduk setempat.
Paras air mula meningkat sejak malam sebelumnya dan telah menjejaskan kira-kira 100 rumah, dengan beberapa kediaman dinaiki air sehingga empat hingga lima kaki dari paras lantai, sekali gus memerlukan tindakan pemindahan segera.
Susulan itu, Pegawai Komander Operasi (PKO) telah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan pemindahan melibatkan 29 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan kerjasama agensi bantuan lain.
Operasi pemindahan ini turut melibatkan kerjasama bersepadu bersama agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.
JBPM Sarawak akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas sentiasa terpelihara.