
SARATOK: Seramai 86 mangsa kebakaran Rumah Panjang Jantum di Nanga Belangun, Ulu Krian telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Sri Krian, berikutan kejadian kebakaran tengah hari tadi.
Dalam kejadian tengah hari tadi, sebanyak 16 pintu Rumah Panjang Jantum di Nanga Belangun, Ulu Krian, telah musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar 1.35 tengah hari tadi.
Dalam pada itu, satu taklimat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Saratok diketuai oleh pengerusinya yang juga Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid telah diadakan bagi membincangkan pembukaan PPS.


Seramai 86 mangsa kebakaran Rumah Panjang Jantum di Nanga Belangun, Ulu Krian telah dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Sri Krian, bermula 5.00 petang tadi. Foto: APM Saratok
“Saya Muhammad Dino Amid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Saratok dengan ini mengisytiharkan secara rasmi pembukaan PPS Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok bermula 5.00 petang hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu memberitahu kesemua mangsa mula dipindahkan di PPS terbabit sejak 5.00 petang tadi.
Menurutnya lagi, agensi berkaitan masih giat melakukan pendaftaran kepada mangsa yang terjejas dalam kebakaran itu sebelum ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok.


Seramai 86 mangsa kebakaran Rumah Panjang Jantum di Nanga Belangun, Ulu Krian telah dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Sri Krian, bermula 5.00 petang tadi. Foto: APM Saratok
Nur Athirah menjelaskan mujurlah tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu kerana kesemua mangsa dapat menyelamatkan diri mereka.
“Kita amat bersimpati kepada semua mangsa dan berharap mereka tabah dan bersabar dengan ujian ini sementara menunggu bantuan selanjutnya disalurkan,” ujarnya sambil menambah setakat ini jumlah penuh mangsa yang terlibat masih dalam proses kemas kini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.
Oleh Adi Safarman