
SARIKEI: Seramai 84 peserta telah menyertai ceramah keselamatan kebakaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bulat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata program tersebut bermula dari 9.00 pagi hingga 10.30 pagi disertai oleh 66 orang murid, 12 orang guru dan enam orang kakitangan sokongan sekolah, baru-baru ini.
“Hadir bagi mengendalikan program tersebut adalah sembilan anggota bomba.
“Pendidikan awal mengenai keselamatan kebakaran amat penting untuk memastikan semua individu memahami tindakan yang tepat ketika kecemasan.

“Program bertujuan memberi pendedahan kepada warga sekolah tentang tindakan awal yang betul ketika berhadapan situasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, antara pengisian aktiviti program ialah latihan merangkak dalam asap, latihan kebakaran, ceramah keselamatan, teknik ‘berhenti, rebah dan guling’ serta demonstrasi cara menggunakan alat pemadam api.
“Program ini turut memberi ruang kepada warga sekolah mencuba sendiri teknik penggunaan alat pemadam api dengan betul sebagai persediaan menghadapi situasi sebenar.
“Program berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek