
MAKKAH: Sebanyak 84 daripada 100 penerbangan membawa jemaah Malaysia bagi musim 1446H/2025M telah tiba di Tanah Suci melibatkan dua syarikat penerbangan utama iaitu AMAL by Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Arabian Airlines (Saudia).
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata setakat semalam, MAS mengendalikan 50 daripada 55 penerbangan atau 90.1 peratus manakala Saudia melaksanakan 34 daripada 45 penerbangan atau 75.6 peratus.
“Baki 16 penerbangan lagi akan berlepas dalam tempoh terdekat dan sampai di Jeddah, iaitu lima daripada MAS dan 11 daripada Saudia untuk melengkapkan kemasukan jemaah ke Tanah Suci,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke kawasan operasi masyair di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd Hisham memaklumkan seramai 25,331 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci setakat ini daripada keseluruhan 31,600 jemaah bagi musim ini.
“99.8 peratus atau 25,281 jemaah telah berada di Makkah, hanya 50 jemaah masih berada di Madinah atas urusan berkaitan Jawatankuasa Kebajikan dan Ibadah Haji Malaysia (JKIM),” katanya.
Bagi musim haji ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bermula 29 April lepas manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun ini, dengan hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah pada Khamis, 5 Jun.– Bernama