82 warga SJKC Bulat sertai latihan keselamatan kebakaran

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANTARA pengisian aktiviti sepanjang program latihan pengungsian bangunan, ceramah dan demonstrasi keselamatan kebakaran yang diadakan di SJKC Bulat, Sarikei. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Seramai 82 warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bulat yang terdiri daripada 67 murid serta 15 guru dan kakitangan menyertai program latihan pengungsian bangunan, ceramah dan demonstrasi keselamatan kebakaran bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai tindakan yang betul sekiranya berlaku kebakaran, di samping meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan.

MURID serta guru dan kakitangan SJKC Bulat mengikuti latihan keselamatan kebakaran dan pengungsian bangunan sebagai usaha memperkukuh pengetahuan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden kebakaran. Foto BBP Sarikei

“Program ini bertujuan memastikan warga sekolah didedahkan kepada tatacara pengungsian bangunan, kaedah menyelamatkan diri sekiranya terperangkap, penggunaan alat pemadam api serta pengetahuan asas berkaitan bahaya kebakaran.

“Pendedahan awal seperti ini penting bagi memastikan setiap warga sekolah mengetahui tindakan yang perlu diambil dengan cepat, teratur dan selamat ketika berdepan situasi kecemasan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurut beliau, program yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dikendalikan oleh lapan anggota bomba.

ANGGOTA BBP Sarikei memberi tunjuk ajar kepada murid dan warga SJKC Bulat mengenai prosedur pengungsian bangunan serta penggunaan alat pemadam api semasa program keselamatan kebakaran. Foto BBP Sarikei

“Latihan pengungsian bangunan memberi peluang kepada murid dan guru memahami prosedur pemindahan secara sistematik bagi mengelakkan panik sekiranya berlaku insiden sebenar.

“Peserta turut didedahkan dengan teknik menyelamatkan diri sekiranya terperangkap, selain menyaksikan demonstrasi penggunaan alat pemadam api sebagai langkah awal mengawal kebakaran,” katanya.

Beliau berkata pendidikan keselamatan kebakaran perlu diterapkan secara berterusan di sekolah bagi membentuk budaya pencegahan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam kalangan warga sekolah.

Oleh Earl Anek