JULAU: Seramai 82 pelajar dari kawasan Pakan dan Julau menerima bantuan pendidikan menerusi Tabung Pendidikan Larry Sng (LSEF) 2026 bagi pengagihan fasa kedua tahun ini, melibatkan peruntukan melebihi RM41,000.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, bantuan berkenaan merupakan komitmen berterusan dalam membantu anak-anak dari kawasan Pakan dan Julau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Daripada 82 penerima, seorang pelajar melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), dua pelajar di peringkat Sarjana, manakala selebihnya mengikuti pengajian peringkat ijazah dan diploma.
“Tahun ini mencatatkan jumlah permohonan tertinggi sejak tabung ini diwujudkan, sekali gus menunjukkan peningkatan keperluan terhadap bantuan pendidikan dalam kalangan golongan muda.
“Sehingga kini, seramai 261 pelajar dari Pakan dan Julau telah menerima manfaat daripada LSEF, sekali gus membuktikan komitmen berterusan saya dalam membantu pelajar tempatan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan LSEF 2026 di Pusat Khidmat Parlimen Julau, baru-baru ini.
Larry berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga, selain menjadi pendorong kepada mereka untuk terus mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
“Saya mengingatkan semua penerima supaya sentiasa mengutamakan pelajaran, di samping menjaga kesihatan fizikal dan mental sepanjang tempoh pengajian.
“Sekiranya berdepan tekanan atau keresahan, jangan memendamnya sendiri sebaliknya berbincang dengan pihak sekolah, pensyarah, rakan atau keluarga agar penyelesaian dapat dicari dengan segera.
“Saya berharap semua penerima terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat selepas menamatkan pengajian,” katanya.
Oleh Earl Anek




