KUCHING: Sebanyak 82 kawasan di bandar-bandar utama seluruh Sarawak telah dikenal pasti bagi pelaksanaan perkhidmatan telekomunikasi bertaraf 5G bagi fasa yang pertama.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata liputan yang disediakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di negeri ini melibatkan kawasan di sekitar Kuching, Miri dan Bintulu.
“Sekarang selain daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat, di Sarawak kita membuat intervensi dengan mewujudkan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) yang sentiasa memberi fokus dalam memperluas liputan rangkaian terutamanya di akwasan luar bandar.
“Kita kini berada pada laluan yang tepat namun demikian kita perlu faham bahawa proses menyediakan infrastruktur bagi memperluas liputan rangkaian mengambil sedikit masa ekoran bentuk muka bumi (topografi) yang agak mencabar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media berkenaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) dan rakan kongsi strategik di Hotel Hilton, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, menurut Julaihi antara usaha yang dilakukan adalah seperti melengkapkan menara telekomunikasi dengan teknologi Mocan dalam memastikan capaian komunikasi boleh diperoleh oleh semua pembekal perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak.
Ujarnya lagi, kerjasama yang baik antara Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pihak berkaitan termasuk pihak swasta merupakan salah satu indikator yang menjamin perubahan positif dalam penyediaan liputan rangkaian lebih meluas di negeri ini.
“Misalnya MOU yang kta saksikan pada hari ini ia memperlihatkan usaha semua pihak yang terlibat dalam usaha menjadikan Sarawak wilayah terkaya menjelang 2030 dengan memastikan salah satu aspek penting (telekomunikasi) sentiasa dinaik taraf.
“Saya percaya dengan usaha berterusan yang dilakukan oleh SDEC dengan mengadakan kolaborasi dan MOU bersama agensi terpilih akan memastikan kelancaran dan liputan meluas telekomunikasi ke seluruh Sarawak,” jelasnya.
Hadir sama Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Operasi SDEC Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEX Syeed Mohd Hussien, Pengarah Urusan People Psyence Sdn Bhd Evelyn Chue dan Pengarah Urusan Ecotane Sdn Bhd Datuk Bolhassan Di.
Oleh RYNNA SHA’ERRA