


Sebahagian individu yang ditahan melalui pelaksanaan Op Tapis Narkotik di Daerah Bintulu.
BINTULU: Seramai 82 individu ditahan menerusi Op Tapis Narkotik yang dijalankan secara berterusan dari 17 November hingga semalam di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sebagai usaha proaktif mengekang penyalahgunaan dadah dalam komuniti setempat.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 79 lelaki dan tiga wanita ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, seorang suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 manakala 10 lagi ditahan mengikut Seksyen 12(3) akta sama.
Selain itu, seramai 71 penagih turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) sepanjang tempoh operasi berkenaan, membabitkan individu berusia antara 14 hingga 60 tahun.
Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 11.3 gram dadah disyaki syabu dengan nilai anggaran RM1,554.
Semua suspek telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan lanjut.
Superintendan Nixon turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada polis melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.